PUTRAJAYA: Selepas hampir lapan tahun didakwa atas 25 pertuduhan berkait penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas semua tuduhan tersebut.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan bekas Presiden UMNO itu gagal menimbulkan keraguan munasabah mahupun mematahkan segala bukti yang dikemukakan oleh pendakwaan.
Hakim Sequerah mendengar kes tersebut sebagai Hakim Mahkamah Tinggi mula membaca penghakimannya sekitar pukul 9.30 pagi sebelum berhenti untuk 10 minit sekitar pukul 11.50 pagi dan menyambung bacaan penghakiman sehingga pukul 12.15 tengah hari bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.
Hakim Sequerah membaca semua penghakimannya pada pukul 3 petang sebelum tamat pukul 5 petang. Selepas berehat kira-kira 40 minit, mahkamah mula mendengar hujahan pihak-pihak terlibat berhubung hukuman.
Terdahulu, bagi empat pertuduhan salah guna kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2,277,577,613.41, Hakim Sequerah menyatakan bahawa tuduhan terhadap najib bermotifkan politik dan satu with-hunt adalah tidak berasas.
“Hujahan tertuduh bahawa pertuduhan terhadapnya merupakan suatu witch-hunt dan bermotifkan politik telah dipatahkan oleh keterangan yang tegas, jelas dan tidak dapat disangkal (sekali gus) menunjukkan bahawa tertuduh telah menyalahgunakan kedudukannya yang amat berkuasa dalam 1MDB, berserta kuasa luas yang diberikan kepadanya. Walau apa pun, dakwaan bahawa pertuduhan tersebut bermotifkan politik telah pun ditangani sebelum ini.
“Keseluruhan mekanisme dan operasi sebenarnya telah dilaksanakan dan digerakkan oleh pegawai-pegawai yang bertindak di bawah arahan tertuduh atau di bawah pengaruh Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho), dengan restu daripada tertuduh sendiri,” kata Hakim Sequerah.
Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Sequerah menyatakan, sepanjang pemeriksaan balas, Najib tidak pernah menafikan bahawa wang dengan jumlah besar telah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya tetapi mendakwa ia adalah wang derma.
“Tertuduh sedar akan kemasukan jumlah wang yang besar ke dalam akaun peribadi dan banknya dalam tempoh beberapa bulan selepas usaha sama PetroSaudi. Tertuduh mengakui bahawa beliau tidak membuat sebarang pertanyaan atau siasatan mengenai sumber dana tersebut walaupun jumlahnya amat besar dan beliau terus berbelanja daripada akaun-akaun tersebut.
“Tindakan sedemikian, pada pandangan mahkamah, menunjukkan seseorang yang sengaja teragak-agak atau menahan diri daripada menyiasat sumber sebenar dana berkenaan, walaupun keadaan secara objektif menimbulkan kecurigaan. Oleh itu, tertuduh adalah bersalah atas ‘kebutaan disengajakan’ (wilful blindness) yang di sisi undang-undang disamakan dengan pengetahuan sebenar.
“Berhubung dengan lima pertuduhan melibatkan penggunaan hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, persoalan dibangkitkan oleh tertuduh bahawa dana tersebut tidak tercemar (not tainted) telah pun ditangani dan adalah tidak berasas. Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh adalah tidak bermerit dan tidak boleh dipercayai.
“Hakikat bahawa terdapat pergerakan wang daripada Tanore (syarikat yang dikaitkan dengan Jho Low) ke dalam akaun peribadi tertuduh, kemudian kembali ke Tanore menggambarkan proses layering iaitu satu modus operandi yang lazim digunakan dalam skim pengubahan wang haram dan bertujuan untuk mengaburkan asal-usul haram dana tersebut,” katanya.
Berdasarkan keseluruhan keterangan, Hakim Sequerah mendapati bahawa Najib gagal menangkis anggapan penerimaan suapan berdasarkan imbangan kebarangkalian dan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sehingga pukul 7 malam semalam, Mahkamah masih mendengar hujah pihak-pihak terlibat berhubung hukuman. Namun mengikut kiraan, Najib boleh dikenakan denda lebih RM11 billion untuk kesalahan salah guna kedudukan, dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan denda lima kali jumlah suapan.
Pihak pembelaan diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah secara ringkas, memohon hukuman penjara dijalankan serentak dengan hukuman bagi hukuman kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. – UTUSAN










