UMNO Perlis sedia hadapi 3 PRK

UMNO Perlis sedia hadapi 3 PRK

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO negeri bersedia berdepan sebarang kemungkinan Pilihan Raya Kecil (PRK) termasuk meletakkan calon dari parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Chuping dan Bintong.

Perkara itu selepas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di tiga kerusi berkenaan dan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan pilihan raya tersebut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, mengikut persetujuan dalam kerajaan Perpaduan sebelum ini parti mendapat kedudukan kedua tertinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diberi laluan bertanding di kawasan terbabit,

Katanya, UMNO negeri memantau perkembangan semasa dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku PRK susulan kemelut politik tersebut.

“Secara dasarnya, ketiga-tiga kerusi tersebut, UMNO atau Barisan Nasional (BN) menduduki kedudukan kedua tertinggi dalam PRU15.

“Bagaimanapun, kita kesal melihat kemelut politik yang berlaku ketika ini memandangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diberikan amanah oleh rakyat itu tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik sehingga tercetusnya kemelut politik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tiga ADUN yang gugur itu masing-masing Saad Seman (Chuping) Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) susulan mereka bersama lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa menyerahkan akuan bersumpah menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Rozabil yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata, krisis politik yang berlaku melibatkan pertembungan sesama sendiri di dalam kerajaan PN dan ia sangat dikesalkan.

“Pembangkang langsung tidak campur tangan dalam mengganggu gugat kerajaan negeri. Rakyat mengharapkan pembangunan, kestabilan politik, ekonomi, peluang pekerjaan namun kecewa disebabkan perebutan jawatan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×