SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan keseluruhan pekerja industri di negeri dapat divaksinkan sepenuhnya menjelang pertengahan September ini.
Jangkaan itu berdasarkan keupayaan 3,500 dos suntikan vaksin sehari di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang terdapat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, sehingga 19 Julai lalu, PPV PIKAS d’Tempat Country Club, Sendayan dekat sini memberi suntikan sebanyak 19,670 dos kepada pekerja-pekerja industri di negeri ini.
Jelasnya, mulai hari ini, sebanyak 2,000 dos suntikan disasarkan diberikan sehari berbanding dengan 1,500 dos suntikan sebelum ini di PPV PIKAS d’Tempat Country Club selepas sebanyak 40,000 dos vaksin telah diperuntukkan sebagai tambahan daripada 19,670 dos vaksin diberi sebelum ini.
“PPV PIKAS D’Cattleya, Senawang pula dijangka beroperasi pada 2 Ogos depan dengan sasaran 1,500 dos suntikan sehari.
“Dijangka dengan keupayaan 3,500 dos suntikan sehari bermula awal Ogos 2021 untuk kedua-dua PPV PIKAS di Negeri Sembilan, keseluruhan pekerja industri di Negeri Sembilan akan dapat divaksinkan sepenuhnya menjelang pertengahan September 2021,” katanya hari ini.
Menurut Mohamad Rafie, usaha menyegerakan pengvaksinan untuk pekerja-pekerja industri adalah penting untuk mengerakkan semula sektor perindustrian bagi merangsang semula ekonomi negara. – UTUSAN ONLINE