GEORGE TOWN: Lebih 10,000 bahan berkaitan Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya dikumpulkan oleh Arkib Negara sebagai persediaan awal pembinaan Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi di Vision Park, Bertam, dekat sini.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd. Noor berkata, kesemua bahan berkenaan kini sedang melalui proses penyenaraian sebelum ditempatkan di memorial yang bakal dibangunkan itu.
Menurutnya, pengumpulan bahan tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama erat dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM), merangkumi pelbagai rekod penting termasuk dokumen pentadbiran, surat rasmi serta bahan berkaitan penglibatan tokoh itu dalam arena politik dan hubungan antarabangsa.
‘Secara keseluruhan lebih 10,000 bahan telah dikumpulkan termasuk surat rasmi sepanjang pentadbiran beliau, rekod penglibatan dalam parti politik serta dokumen lawatan rasmi ke luar negara.
“Turut dikumpulkan ialah bahan berkaitan ucapan beliau di peringkat antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kayuhan Jejak Seniman: Rumah Kelahiran P. Ramlee yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pulang, Tun Ramli Ngah Talib di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebidang tanah di Vision Park, Bertam, Kepala Batas bagi pembinaan memorial berkenaan sebagai usaha memperingati jasa dan legasi tokoh tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, pemilikan tanah itu telah dimuktamadkan sebelum diserahkan kepada Arkib Negara bagi merealisasikan pembinaan galeri yang dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – UTUSAN










