KOTA TINGGI: Keadaan semasa di Lubnan yang menyaksikan berlaku situasi perang antara rejim zionis Israel dan Hezbollah bukan mandat yang diberikan United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) terhadap Anggota Batalion Malaysia (MALBATT).
Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) mempertimbang permohonan Malaysia untuk menarik keluar pasukan berkenaan daripada kancah peperangan.
“Apabila kita hantar pasukan sertai UNIFIL, tujuannya adalah sebagai pasukan pengaman antara pihak bertelagah iaitu Israel dan Hezbollah supaya mereka tidak meneruskan peperangan.
“Tetapi hari ini keadaan telah bertukar, mereka berperang antara satu dengan yang lain dan ini bukannya mandat yang diberikan kepada MALBATT atau mana-mana pasukan lain yang sertai UNIFIL,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Udang Galah di Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut, di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, MALBATT merupakan pasukan pengaman yang tidak mempunyai kelengkapan persenjataan sesuai untuk keadaan peperangan, sebaliknya mereka kini pihak terkesan dalam situasi semasa.
“Jadi atas sebab itu kita mohon keputusan UN untuk tentukan bahawa keadaan sudah berubah, kesesuaian pasukan-pasukan ini (berada di Lubnan) wajar dipertimbangkan dan kita sedang menunggu jawapan UN.
“Permohonan telah dibuat Kementerian Luar, kita di Kementerian Pertahanan tunggu keputusan, kalau keputusannya kekal di situ kita akan kekal, tetapi kalau keputusannya boleh balik, kita akan balik. Itu keputusan antara Kementerian Luar dan UN, bukan pihak kita,” katanya.
Mohamed Khaled turut memberitahu, lebih 500 anggota MALBATT di Lubnan ketika ini telah diarah untuk kekal di dalam ‘bunker’ dan tidak melakukan sebarang operasi rondaan. – UTUSAN










