SEPANG: Hanya kerana terlepas penerbangan, seorang lelaki warga asing bertindak agresif dengan merosakkan harta awam termasuk mencederakan anggota keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di sini, 5 April lalu.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sebelum bertindak menahan suspek pada hari sama kira-kira pukul 10.30 pagi di Kaunter Pertukaran Antarabangsa KLIA2.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan turut bertindak sedemikian kerana dipercayai berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.
“Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika itu sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.
“Suspek dikesan bertindak agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah dan membaling botol minuman ke arah kaunter,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, tindakan suspek itu turut mencederakan seorang anggota keselamatan yang bertugas.
Ravi berkata, suspek telah dituduh di Mahkamah Sepang pada 7 April lalu dan telah mengaku bersalah.
“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Selain itu, suspek turut dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan dan tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mencetuskan kegusaran di tempat awam, khususnya di Terminal KLIA1 dan KLIA2.
Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter KLIA2 termasuk bertindak agresif terhadap anggota keselamatan. – UTUSAN










