GEORGE TOWN: Lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara mengunjungi Rumah Kelahiran serta Galeri P. Ramlee di Pulau Pinang selain Pustaka Peringatan P. Ramlee di Kuala Lumpur setiap tahun sekali gus membuktikan bahawa legasi seniman agung itu terus mendapat tempat di hati masyarakat.
Ketua Pengarah Arkib Negara, Zaidin Mohd. Noor berkata, sambutan menggalakkan yang diterima juga mencerminkan minat berterusan peminat seni tanah air dan antarabangsa terhadap tokoh berkenaan yang bukan sahaja terkenal sebagai penyanyi, malah pelakon dan pengarah tersohor.
“Peminat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara juga. Kita menerima pengunjung dari rantau Asia, terutamanya dari Thailand, Indonesia dan Singapura yang datang untuk melihat sendiri legasi beliau,” katanya selepas Program Kayuhan Jejak Seniman: Rumah Kelahiran P. Ramlee di sini, hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib yang berbasikal sejauh 14 kilometer (km) bermula dari kediaman rasmi beliau di Seri Mutiara di Jalan York menuju ke Rumah Kelahiran P. Ramlee sebagai simbolik terhadap perasmian berkenaan.
Mengulas mengenai Program Kayuhan Jejak Seniman itu pula, beliau berkata, ia dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-100 Rumah Kelahiran P. Ramlee dan bertujuan bagi memperkasakan lagi promosi warisan seni negara.
“Program ini merupakan satu inisiatif memperkenalkan destinasi pelancongan berasaskan tokoh seni kepada masyarakat di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa. Penyertaan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang menjadikannya sebagai antara acara berprofil tinggi dalam kalendar sambutan tahun ini,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai program akan diadakan secara berperingkat sepanjang tahun ini termasuk seminar berkaitan tokoh, seni bina rumah, selain pengisian berbentuk muzik dan podcast melibatkan individu yang pernah bekerjasama dengan P. Ramlee dengan acara kemuncak sambutan dijangka berlangsung Jun ini. – UTUSAN










