Segerakan vaksin pemain industri peruncitan, perdagangan - Utusan Malaysia

Segerakan vaksin pemain industri peruncitan, perdagangan

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu menyegerakan pemberian vaksin Covid-19 kepada pemain industri perdagangan, pengedaran dan peruncitan di seluruh negara bagi membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi domestik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sektor peruncitan sebagai salah satu perkhidmatan perlu beroperasi setiap hari sepanjang tempoh Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara demi memastikan orang ramai boleh mendapatkan bekalan makanan dan minuman seperti biasa tanpa perlu melakukan pembelian panik dan berlebihan.

Beliau berkata, melalui satu sesi libat urus dan Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) pada 1 Julai lalu, semua pemain industri bersetuju langkah utama yang perlu dilaksanakan ialah menyegerakan program imunisasi kepada barisan hadapan sektor peruncitan.

“Sektor-sektor di bawah kementerian harus diberi perhatian sewajarnya dalam pelaksanaan program imunisasi Covid19 seperti sektor-sektor lain termasuk sektor pengilangan dan pembinaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan data dan statistik yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan, sektor perdagangan domestik mengekalkan prestasi cemerlang dalam membendung penyebaran jangkitan Covid-19, iaitu hanya 0.8 peratus daripada keseluruhan kluster manakala tahap pematuhan prosedur operasi standard adalah sebanyak 98.54 peratus.

Katanya, walaupun kluster yang wujud dari sektor peruncitan adalah amat rendah, pekerja sektor peruncitan khususnya pasar raya berhadapan risiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 kerana sentiasa bersemuka dengan ramai dan pelbagai kategori pengguna setiap hari.

Jelasnya, sehingga 1 Julai lalu, terdapat 1,162 pekerja dari 59 pasar raya dijangkiti Covid-19 yang menyebabkan operasi pasar raya tersebut terpaksa ditutup.

“Sehingga hari ini, terdapat tujuh cawangan pasar raya masih ditutup kerana kebanyakan pekerja perlu menjalani proses kuarantin,” katanya.

Katanya, sektor perdagangan dalam negeri memainkan peranan yang penting sebagai penggerak ekonomi domestik sekali gus memastikan kesejahteraan golongan B40 dan M40 terbela.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN