Respons dasar awam terhadap krisis global - Utusan Malaysia

Respons dasar awam terhadap krisis global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia kini amat gusar dalam ketidaktentuan akibat perang Iran-Amerika Syarikat. Perang ini memberi impak besar dan pencetus kepada krisis global. Paling terkesan adalah industri minyak dunia. Kapal tangki minyak tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz oleh pemerintah Iran. Selat Hormuz adalah laluan air antara Teluk Parsi dan Teluk Oman. Di pantai utara terletak Iran, manakala di pantai selatan terletak Semenanjung Musandam yang dikongsi oleh Emiriah Arab Bersatu dan Wilayah Musandam sebuah enklaf milik Oman kawasan terpisah dari wilayah utama dan dikelilingi oleh negara lain.

Tindakan Iran tidak membenarkan kapal tangki melalui Selat Hormuz mengakibatkan bekalan minyak dunia mula mengalami krisis. Kesan langsung krisis itu menyebabkan kenaikan harga petrol dan diesel dunia. Senario sama sama dihadapi Malaysia walaupun negara ini antara pengeluar terbesar minyak dunia.

Bagaimana nasib rakyat dan pengguna seluruh dunia kesan perang Iran-Amerika? Selain krisis minyak global, rakyat seluruh dunia bakal berhadapan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Semua perindustrian, perkilangan, pertanian, penternakan, perlombongan dan lain-lain menggunakan minyak dalam operasi. Kini harga minyak sudah di paras yang tinggi termasuk di Malaysia walaupun rakyat masih berpeluang menikmati subsidi petrol dan diesel daripada kerajaan.

Dalam menghadapi kesan krisis global ini, kenaikan harga minyak, seterusnya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan – bagaimanakah respons dasar awam? Tentunya dalam konteks dasar awam, ia memperlihat bagaimana kerajaan membuat sebarang keputusan dan tindakan sebagai langkah menghadapi krisis global ini. Keputusan dan tindakan kerajaan bertujuan agar rakyat bersedia menghadapi sebarang kesan daripada perang ini. Lantas kerajaan umumkan tindakan dan langkah perlu bagi menyelesaikan krisis seperti menaikkan harga minyak.

Hakikatnya, rakyat sebagai penerima barangan dan perkhidmatan secara terpaksa dalam ketidaktentuan berperanan sebagai penyerap kenaikan harga dan bersedia menanggung segala kesan daripada apa yang berlaku. Mahu tidak mahu; rela atau terpaksa walaupun matlamat akhir dasar awam melahirkan keselesaan dan kelegaan dalam kalangan rakyat, mereka perlu menerima keputusan kerajaan.

Ironinya, dasar awam merujuk kepada tindakan dan keputusan kerajaan boleh menimbulkan kegusaran, kebimbangan, ketidaktentuan, kesulitan dan sebagainya dalam kalangan rakyat. Paling signifikan dan relevan dalam konteks semasa, kenaikan harga petrol dan diesel akan melebar kepada seluruh sektor industri dan perkhidmatan mengakibatkan rakyat bakal menanggung dan menyerap semua kenaikan harga barangan dan perkhidmatan demi keperluan mereka.

Jadi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif menangani kesan krisis ini. Dalam konteks dasar awam, tindakan yang sedang dan bakal dilakukan oleh kerajaan perlu penelitian.

Antaranya, kerajaan perlu mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar melalui inisiatif BUDI MADANI. Walaupun harga pasaran meningkat, langkah mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter dapat mengurangkan kesan langsung inflasi kos sara hidup.

Pengumuman MADANI Mart dan Program Rahmah juga langkah memperkenal inisiatif harga rahmah untuk mengawal inflasi harga barang keperluan. Semua langkah ini mencerminkan dasar awam berorientasikan subsidi bersasar bertujuan memastikan kecekapan fiskal dan keadilan sosial.

Selain itu, kerajaan perlu perkukuhkan bantuan tunai dan pemindahan fiskal sebagai mekanisme mitigasi seperti bantuan di bawah skim BUDI Diesel ditingkatkan sehingga RM300 sebulan bagi golongan layak. Langkah ini menunjukkan pelaksanaan instrumen dasar agihan semula (redistributif) untuk melindungi kumpulan rentan seperti pengguna kenderaan diesel kecil, sektor logistik dan pertanian daripada kejutan harga global.

Kerajaan juga perlu bersedia dari sudut pengurusan fiskal makro bagi menanggung peningkatan kos subsidi yang mendadak bagi menstabilkan ekonomi domestik. Ini kerana dalam tempoh singkat, peruntukan subsidi melonjak berbilion ringgit akibat kenaikan harga minyak dunia. Di sini peranan penting kerajaan sebagai penyerap kejutan (shock absorber) dalam ekonomi terbuka walaupun dalam masa sama perlu menyeimbangkan kemampanan fiskal jangka panjang.

Selain itu, kawal Kadar Dasar Semalaman (OPR) mesti dilakukan, di mana Bank Negara Malaysia perlu memantau OPR bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan inflasi demi melindungi ekonomi daripada ketidaktentuan.

Seterusnya kerajaan telah menekankan langkah bukan harga (non-price measures) seperti pengurangan penggunaan bahan api dan peningkatan kecekapan tenaga. Berikutan itu, kerajaan melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) sektor awam, penjadualan kerja fleksibel dan penangguhan projek tidak kritikal bagi mengurangkan permintaan bahan api.

Pendekatan yang diambil ini bertepatan dengan dasar pengurusan permintaan (demand side management) dalam menghadapi kejutan bekalan global. Pendekatan whole-of-government ini mesti diambil melibatkan semua kementerian.

Untuk tempoh jangka sederhana mahu pun panjang, kerajaan mesti mengambil langkah menggerakkan strategi kepelbagaian berbentuk ekonomi dan rasionalisasi subsidi. Ini termasuk usaha mengurangkan kebergantungan kepada sektor yang sensitif terhadap harga minyak serta memperkukuh asas fiskal melalui penstrukturan semula subsidi. Dari perspektif dasar awam, langkah ini penting bagi meningkatkan daya tahan ekonomi (economic resilience) terhadap krisis global berulang.

Ringkasnya, bagi menghadapi krisis global pada hari ini, respons kerajaan boleh dirumuskan sebagai pendekatan dasar awam yang komprehensif merangkumi perlindungan jangka pendek (subsidi dan bantuan tunai), penstabilan makroekonomi (pengurusan fiskal dan monetari) dan penyesuaian struktur jangka panjang (reformasi subsidi dan diversifikasi ekonomi).

Semua langkah ini perlu antara melindungi rakyat, pada masa sama memastikan kelestarian kewangan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global memastikan kestabilan ekonomi dan keselamatan rakyat terjamin.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim, Pengarah Kanan di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN