Sajat gagal serah afidavit bantahan notis bankrap - Utusan Malaysia

Sajat gagal serah afidavit bantahan notis bankrap

MUHAMMAD SAJJAD KAMARUZZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat gagal menyerah sebarang afidavit bagi membantah notis kebankrapan dikenakan terhadapnya selepas didapati gagal membayar jumlah penghakiman sebanyak RM200,000 terhadap dua plaintif yang merupakan bekas stokis bengkung dan girdle milikya.

Peguam OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili kedua-dua plaintif, Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 3 Mac lalu membenarkan notis kebankrapan diserahkan kepada usahawan tersebut secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan.

Bagaimanapun, sehingga minggu ini, pihaknya belum menerima sebarang afidavit membantah notis kebankrapan itu daripada pihak Nur Sajat.

“Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami telah mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan dan menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan.

“Pada tahun lepas, anak guam berjaya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini akaun tersebut. Ini dilakukan melalui tindakan garnisi terhadap kesemua akaun defendan.

“Berikutan kegagalan defendan membayar penghakiman mahkamah, anak guam tiada pilihan lain melainkan membankrapkan defendan,” katanya.

Mengikut penghakiman Mahkamah Rayuan pada April lalu, Muhammad Sajjad gagal dalam rayuannya bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan usahawan itu membayar ganti rugi sebanyak hampir RM200,000 kepada OWA Resources.

Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi tersebut secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

OWA Resources sebelum ini cuba menyerahkan notis bankrap kepada Muhammad Sajjad sebanyak tiga kali termasuk percubaan menyerahkan surat temu janji namun gagal kerana defendan tidak dapat ditemui.

Oleh itu, ujarnya, plaintif telah memfailkan notis tersebut untuk serahan secara alternatif melalui notis iklan di surat khabar, mahkamah dan hadapan rumah defendan.

Berdasarkan notis berkenaan, Nur Sajat perlu membayar RM113,327.00 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) sehingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000.00 dan setakat 3 Mac lalu, jumlah itu menjadi RM197,329.87.

Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya