RAUB: Kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, bukan untuk menakut-nakutkan penduduk sebaliknya bagi mengawal keselamatan dalam operasi penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian Musang King dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam.
Semua pihak termasuk penduduk perlu bertenang dan mengawal emosi masing-masing bagi mengelak kejadian yang tidak sepatutnya daripada berlaku.
Ketua Kampung Kampung Baru Tras, Lim Teck Hoe berkata, jangan dijadikan operasi itu sebagai isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
“Saya difahamkan pada awal operasi, rata-rata penduduk (pekebun) tidak dapat mengawal emosi kerana mereka beranggapan pihak berkuasa terbabit melanggar perintah mahkamah sedia ada.
“Tetapi sebenarnya saya difahamkan kawasan itu di luar kawasan yang mempunyai perintah mahkamah dan kerajaan negeri mempunyai hak menjalankan operasi penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Difahamkan, kebanyakan peneroka kebun durian Musang King haram menetap di Kampung Baru Tras.
Teck Hoe berkata, sebagai mewakili penduduk, beliau menyampaikan hasrat mereka yang merayu kepada kerajaan negeri supaya menangguhkan sementara operasi penguatkuasaan berkenaan.
Jelasnya, penangguhan itu bertujuan memberi peluang kepada pekebun berbincang dengan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Saya bertanggungjawab membantu menyampaikan hasrat penduduk di Kampung Baru Tras termasuk pekebun durian Musang King yang mahu berbincang dan mencari penyelesaian mengikut lunas-lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










