PUTRAJAYA: Seorang bekas jurugambar akhbar berbahasa Inggeris tempatan dibebaskan daripada sabitan salah dan dikembalikan wang denda RM20,000 selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan rayuannya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin dan bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati berlaku salah arah dalam membabitkan Mohd Shahril Abdul Rani, 54, tidak dibuktikan.
“Sama ada sesuatu komunikasi itu jelik atau tidak bukanlah sesuatu yang subjektif tetapi memerlukan analisis yang objektif dan tersusun. Konteks komunikasi itu dilakukan, tujuan ia dilakukan dan sama ada individu dalam masyarakat akan menganggap komunikasi tersebut adalah jelik.
“Mahkamah Tinggi, dengan hormatnya tidak melakukan analisis tersebut dan sebaliknya hanya mengesahkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen. Pada kami, itu adalah satu salah arah.
“Setelah meneliti keseluruhan keterangan, kami berpuas hati bahawa elemen niat untuk menyinggung tidak berjaya dibuktikan, komunikasi tersebut tidak memenuhi ambang undang-undang sebagai menyinggung dan sabitan adalah tidak selamat.
“Kami mendapati bahawa sabitan yang direkodkan oleh Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi tidak dapat dikekalkan. Rayuan perayu dibenarkan. Sabitan dan hukuman diketepikan. Oleh itu, perayu dengan ini dilepas dan dibebaskan. Sebarang denda yang telah dibayar dipulangkan kepada perayu,”kata Hakim Noorin yang penghakiman ringkas panel terbabit.
Pada 29 Februari 2024, Mahkamah Sesyen Kajang mendapati Mohd Shahril bersalah atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Youtube atas nama ‘Raja Emel’ dan memulakan video secara langsung yang jelik sifatnya mengenai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis DiRaja Malaysia yang didakwa gagal menjalankan siasatan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dan PDRM di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Daerah Kajang, Hulu Langkat pada 9.11 malam, 26 Julai 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Lelaki terbabit kemudian dikenakan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Pada 18 Jun 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman tersebut.
Terdahulu, ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit, Hakim Noorin menyatakan, niat di sebalik komunikasi tersebut mestilah disokong dengan keterangan yang jelas dan kukuh, bukan sekadar andaian.
“Dalam kes ini, keterangan khususnya daripada saksi pendakwaan ketujuh (Kamarul Ariffin Kamaruzaman), menunjukkan bahawa tujuan utama komunikasi oleh perayu adalah untuk memaklumkan masyarakat mengenai perkembangan berkaitan laporan polis serta memohon agar siasatan disegerakan.
“Tujuan sedemikian adalah sah dan tidak boleh, walau dengan apa jua tafsiran, disamakan dengan niat untuk mengganggu atau menyinggung.
“Kami mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen-elemen penting ini melampaui keraguan munasabah. Komunikasi perayu, apabila dilihat dalam konteks yang sebenar, merupakan satu bentuk penyataan kebimbangan yang dilindungi,”katanya.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Shahril diwakili peguam-peguam bela, Yu Ying Ying dan Thiruna Jayshan manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob. – UTUSAN










