PASIR PUTEH: Polis merampas 141,200 batang rokok dan lebih 7.7 tan beras seludup selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di Selising, Pasir Puteh dekat sini pagi tadi.
Serbuan pukul 6.30 pagi itu membabitkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM191,000.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Saari Yaacob berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang ditahan itu mengaku terlibat dalam penjualan rokok tidak bercukai dan beras seludup.
Katanya, bagaimanapun seorang lagi suspek menafikan dia terlibat kes tersebut.
“Kita akan mendapatkan perintah reman dari mahkamah untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Shaari memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan rokok tidak bercukai pelbagai jenama serta beras yang dipercayai dibawa masuk dari Thailand tanpa kebenaran.-UTUSAN










