[VIDEO] Persenda ayat al-Quran: Ibu Yati, dua individu mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Persenda ayat al-Quran: Ibu Yati, dua individu mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan

WAN Norhayati Wan Alias atau lebih dikenali Ibu Yati yang terpalit dengan isu ajaran sesat Agama Melayu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tokoh Wartawan Rakyat, Wan Noor Hayati Wan Alias bersama dua individu lain termasuk seorang bekas profesor madya sebuah universiti tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak dan mempersendakan ayat al-Quran antara Disember 2020 hingga Februari tahun ini.

Kesemua tertuduh, Wan Noor Hayati, 42; Noorafiza Ahmad, 46, dan Prof. Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Khalid Shee@Shaii.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa Wan Noor Hayati bebas daripada Covid-19 selepas didapati menjadi kontak rapat dengan seorang banduan yang disahkan Covid-19 di penjara sebelum ini.

WAN Noor Hayati Wan Alias tiba di Mahkamah tinggi Syariah Shah Alam atasu tujuh pertuduhan. – VIDEO/NORHAYATI YAHAYA

Wan Noor Hayati yang lebih dikenali sebagai Ibu Yati didakwa dengan tiga pertuduhan manakala Noorafiza yang merupakan pembantu tadbir di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia didakwa dengan satu pertuduhan melalui Facebook masing-masing menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau sebatan enam kali atau dihukum dengan kombinasi hukuman itu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 Disember 2020 hingga 30 Januari 2021.

Abdul Hamid yang hadir dengan berkerusi roda pula didakwa atas tiga pertuduhan iaitu dua pertuduhan menjelaskan doktrin bertentangan dengan hukum syarak mengikut Seksyen 7(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor dan satu pertuduhan mempersendakan ayat al-Quran mengikut Seksyen 9 Enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang, dekat sini pada pukul 9 malam, 2 Februari lalu.

Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Wan Amir Akram Zainal Abidin.

Mahkamah menetapkan jaminan masing-masing RM11,000 terhadap Wan Noor Hayati dan Noorafiza (RM5,000) manakala Abdul Hamid (RM9,000) dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) terhampir dengan kediaman dua minggu sekali.

Kesemua tertuduh juga tidak dibenarkan untuk memuat naik sebarang maklumat di laman media sosial masing-masing sehingga perbicaraan kes selesai dijalankan.

Sebutan kes bagi Wan Noor Hayati dan Noorafiza ditetapkan pada 2 November tahun ini manakala Abdul Hamid pada 18 Januari tahun hadapan.

Utusan Malaysia pada 3 Februari lalu melaporkan, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memanggil Ibu Yati bagi membantu siasatan berhubung dengan ajaran sesat Agama Melayu.

Pada 5 Februari lalu, dia turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membuat kenyataan di Facebook miliknya dipercayai berhubung penularan wabak Novel Coronavirus.

Mengikut pertuduhan, Wan Noor Hayati didakwa menggunakan laman Facebook ‘Ibu Yati’ secara sedar membuat kenyataan mengenai coronavirus dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

Ketiga-tiga pautan itu dibaca pada 26 Januari lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Noor Hayati didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan jika disabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya