Henti cerca mana-mana institusi - MB Selangor

Henti cerca mana-mana institusi – MB Selangor

Institusi
AMIRUDIN Shari berucap pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Selangor 2026, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Institusi diraja, ulamak dan sebagainya tidak seharusnya menerima penghinaan atau cacian, sebaliknya ia sebagai simbol penyatuan komuniti dan perlu dihormati.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seperti institusi diraja atau ulamak, kedua-dua itu adalah lebih tinggi berbanding politik yang ada perbezaan.

“Kalau ada perbezaan dalam politik pun, kita sesama manusia seharusnya mengelak daripada cercaan apatah lagi penghinaan. Itu asasnya. Tetapi, manusia kadang-kadang mereka diluar kerangka (kawalan).

“Jadi, sebab itu saya minta polis mengambil tindakan. Tindakan sedemikian membenarkan kerajaan untuk mengambil langkah (penguatkuasaan) terhadap isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Selangor 2026 di sini, hari ini.

Terdahulu, polis Selangor memaklumkan pihaknya menerima 280 laporan berhubung tindakan menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin menerusi hantaran tular dalam Facebook, bulan lalu.

Hantaran tersebut merupakan sekeping gambar seekor babi digambarkan dalam sepersalinan berwarna kuning dan tanjak ‘solek balung raja’ dengan niat menghina Sultan Selangor.

Bagaimanapun, malam tadi polis dilapor menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 7.10 malam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Justeru, Amirudin menggesa supaya tindakan tegas kepada individu terbabit diambil termasuklah kepada mana-mana pihak yang melakukan perbuatan sedemikian.

“Dahulu tindakan penguatkuasaan selalu dikritik oleh pembangkang yang mendakwa seolah-olah (kerajaan) mahu menutup suara. Tetapi kesannya saya lihat sekarang begitu luar biasa.

“(Masalah itu) harus ditangani. Saya berterima kasih kepada polis yang mengambil tindakan segera dan sudah pun dapat mengesan (suspek), harap diambil tindakan yang keras kepada mereka terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN