SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyemak semula tahap keselamatan longkang-longkang di negeri ini bagi mengelakkan kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa berlaku lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan tahap keselamatan saliran air itu akan dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan daripada kanak-kanak bermain di kawasan berhampirannya.
“Kena ada zon penampan bagi kawasan-kawasan tertentu bagi mengelak daripada isu (kejadian mati lemas) berulang.
“Kedua, saya tengok perincian (semakan dan siasatan), adakah kanak-kanak bermain di situ atau dia terjatuh ketika mengambil bola dan sebagainya. Itu perlu dipertingkatkan keselamatan di kawasan-kawasan terlibat.
Jumaat lalu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan terjatuh ke dalam longkang berhampiran Kondominium Sri Hijau, Bandar Mahkota Cheras sebelum mayatnya ditemukan semalam di Sungai Langat pada jarak 11 kilometer (km).
Sebelum itu, pada 28 April lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun juga dilaporkan terjatuh ke dalam longkang di Lorong Cakera Purnama, Bandar Puncak Alam sebelum mayatnya ditemukan dekat Sungai Buloh pada jarak 6km.
Selain itu, beliau juga memaklumkan semua pihak termasuk masyarakat dan ibu bapa perlu mengambil langkah pencegahan dengan mengelakkan anak-anak daripada bermain di kawasan-kawasan sedemikian.
“Isunya longkang itu dan keadaan itu, bukan itu sahaja. Kejadian pertama, melibatkan kanak-kanak bermain di tempat tersebut ataupun ramai yang terlibat. Kebetulan dia mendapat nasib malang.
“Jadi, keadaan keselamatan longkang, yes (tindakan kerajaan), tetapi semua pihak kena melihat, termasuk masyarakat, bukan ibu bapa sahaja. Supaya elakkan daripada bermain di kawasan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










