ARAU: Individu yang berhasrat melaksanakan ibadah korban di negeri ini termasuk proses penyembelihan di rumah sembelihan kerajaan dan swasta, hendaklah membuat permohonan melalui masjid sebelum dimajukan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perkara itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang membenarkan ibadah tersebut dilaksanakan di semua masjid dengan beberapa perincian prosedur operasi standard (SOP).
Titah baginda, pihak masjid perlu membuat hebahan berkaitan keperluan pendaftaran ibadah korban dalam kariahnya untuk mempermudahkan perancangan dan penyusunan tindakan.
“Jawatan kuasa kariah masjid yang mengelolakan ibadah korban hendaklah mengemukakan borang permohonan ibadah korban tahun 1442H/2021M negeri Perlis kepada bahagian dakwah dan takmir JAIPs selewat-lewatnya tujuh hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1442H. Borang permohonan boleh diperoleh di bahagian dakwah dan takmir masjid atau daripada laman rasmi pihak berkuasa agama negeri ini.
“Seperti titah terdahulu, penyembelihan haiwan korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan milik kerajaan dan swasta, masjid dan premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan JAIPs. Surau dan sekolah agama masih kekal tidak dibenarkan.
“Selain itu, pelaksanaan ibadah korban oleh jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah tidak dibenarkan,” titah baginda di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










