KOTA KINABALU: Sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan kini menempatkan seramai 248 orang daripada 219 keluarga terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, setakat pukul 12 tengah hari ini, sebanyak 46 buah keluarga telah ditempatkan di PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi.
Sejumlah 47 keluarga pula berada di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gas manakala 23 keluarga di Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia.
Selain itu, 26 buah keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi manakala 31 buah keluarga di Dewan Sibuga serta 46 buah keluarga lagi di SK Karamunting.
Jumlah keseluruhan mangsa masih dalam proses kemas kini dan pendaftaran masuk mangsa masih berjalan sehingga kini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan kira-kira 1,000 buah rumah di perkampungan atas air itu musnah dalam kebakaran besar yang berlaku awal pagi semalam.
la adalah kebakaran kali ketiga pernah berlaku di kampung berkenaan dan paling terbesar selepas kejadian pada tahun 1994 serta 2001.-UTUSAN.










