PUTRAJAYA: Semua penggubal polisi awam perlu proaktif dalam membangunkan peraturan yang memberi banyak manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan (NPGRP) yang bermula awal tahun ini.
“Sehubungan itu, saya mengajak penggubal dan pengawal selia polisi di semua kementerian dan agensi kerajaan untuk bertindak lebih proaktif dalam membangunkan peraturan berkualiti.
“Anda juga harus membuat semakan semula peraturan yang sedia ada agar ia lebih menjurus kepada aspek kesejahteraan rakyat dan kemakmuran pembangunan negara kita,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan NPGRP secara maya hari ini.
NPGRP telah diedarkan oleh Jabatan Perdana Menteri menerusi Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2021 untuk semua agensi persekutuan agar mematuhi Sistem Pengurusan Proses Peraturan. – UTUSAN ONLINE