WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membatalkan gelombang kedua serangan ke atas Venezuela selepas negara Amerika Selatan itu menunjukkan kerjasama, termasuk membebaskan sejumlah besar banduan politik sebagai isyarat ‘mencari keamanan’.
Trump, yang membuat pengumuman itu melalui platform Truth Social, berkata hubungan antara AS dan Venezuela kini berjalan dengan baik, terutama dalam usaha membina semula infrastruktur minyak dan gas negara itu dalam bentuk yang lebih besar, baik dan moden.
“Disebabkan oleh kerjasama ini, saya telah membatalkan gelombang serangan kedua yang dijangka, yang nampaknya tidak lagi diperlukan. Namun, semua kapal tentera akan kekal di tempat untuk tujuan keselamatan,” katanya.
Keputusan itu dibuat hanya beberapa hari selepas operasi ketenteraan dramatik AS yang membawa kepada penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dan isterinya, yang kini sedang berdepan tuduhan di mahkamah di New York.
Trump turut menyatakan pemimpin pembangkang Venezuela, María Corina Machado, kini dijadualkan tiba di Washington minggu depan untuk pertemuan, dan prospek pelaburan besar oleh syarikat minyak AS turut dibincangkan sebagai sebahagian daripada hubungan baharu antara kedua-dua negara.
Dalam temu bual di Fox News, Trump berkata, beliau akan bertemu dengan eksekutif syarikat minyak di Rumah Putih pada Jumaat dan menyatakan syarikat‑syarikat minyak itu dijangka membelanjakan sekurang‑kurangnya US$100 bilion (RM406 bilion) di Venezuela, satu perkara yang turut diulanginya dalam hantaran di Truth Social.- AGENSI











