KUALA LUMPUR: Dua slot suku akhir kini berada di dalam genggaman dua beregu lelaki negara selepas pertembungan sesama sendiri bakal berlaku pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, dekat sini, Khamis ini.
Gandingan No. 16 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King mengetepikan pasangan Taiwan, He Zhi Wei-Huang Jui Hsuan 21-19, 15-21, 21-11 dalam masa 48 minit pada pusingan pertama, hari ini.
Kejayaan itu telah membawa Arif-Roy King berdepan dengan rakan senegara, Kang Khai Xing-Aaron Tai pada peringkat 16 terbaik.
Beregu muda, Khai Xing-Aaron yang merupakan gandingan ke-26 dunia menewaskan satu lagi wakil Taiwan, Lai Po You-Tsai Fu Cheng 17-21, 21-19, 21-16 dalam masa 54 minit.
Selain dua beregu tersebut, turut bertembung sesama sendiri di pusingan kedua adalah dua beregu profesional Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Chia Wei Jie-Teo Ee Yi.
Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, satu lagi beregu profesional Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayob Azriyn-Tan Wee Kiong yang mengejutkan pasangan No. 15 dunia, Lee Jhee Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan 21-14, 21-14 dalam masa 26 minit.
Beregu veteran yang menghuni ranking ke-23 dunia itu tidak pernah mencatat kemenangan ke atas Jee Huei-Po Hsuan daripada tiga pertemuan lalu dan ini merupakan kemenangan sulung mereka ke atas pilihan keempat tersebut.
Pada peringkat seterusnya, Azriyn-Wee Kiong bakal melayan tentangan beregu No. 27 dunia, Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.
Namun begitu, nasib berbeza dialami beregu pecah ganding, Lwi Sheng Hao-Ong Yew Sin yang tunduk di tangan pasangan ke-35 dunia, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh dari Taiwan 13-21, 14-21 dalam masa 24 minit.
Yew Sin yang kali pertama tampil bersama pasangan baharunya, Sheng Hao terpaksa menerima hakikat bermula dengan langkah kiri, berbanding gandingan lamanya, Ee Yi yang meraih kemenangan bersama Wei Jie. – UTUSAN










