SEPANG: Harapan empat lagi rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotila (GSF) untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza terkandas, setelah bot dinaiki mereka dipintas tentera laut Israel (IOF) hari ini.
Empat peserta itu termasuk pempengaruh, Muhammad Hareez Adzrami atau dikenali sebagai Haroqs dan Chin Shiau Weai yang berada di atas kapal Alcyone, Syed Amirul Syafiq Syed Iskandar (kapal Don Juan) serta Noor Thanisah Mohamad Tajudin dari kapal Zefiro.
Situasi pemintasan yang berlaku di Zon Merah 2 itu dilihat menerusi siaran langsung yang dipaparkan pada dashboard Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini.
Status kapal Zefiro yang dinaiki seorang rakyat Malaysia disahkan telah dipintas oleh IOF pada pukul 7.44 malam, diikuti kapal Alcyone pada pukul 8.30 malam dan kapal Don Juan.
Pemintasan tiga kapal yang dinaiki empat rakyat Malaysia sebentar tadi menjadikan jumlah keseluruhan 29 peserta GSF dari negara ini telah pun berada dibawah tahanan rejim Zionis.
Terdahulu, media melaporkan, SNCC masih belum dapat mengesahkan status seramai 25 daripada 29 peserta rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza, setelah kapal yang dinaiki mereka dipintas IOF sejak semalam ketika berada di perairan antarabangsa.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, sehingga kini, SNCC masih belum menerima sebarang pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pemintasan itu berlaku.
Senarai rakyat Malaysia yang telah ditahan rejim Zionis sejak semalam terdiri daripada Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang berada di atas kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi (kapal Isobella), Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (kapal Cactus), S. Patmanathan, Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar yang berada di atas kapal Ferluto.
Turut ditahan, Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari yang berada di atas kapal Bianca ITA, Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (kapal Gotico), Norazman Ishak (kapal Abodes), manakala Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa serta Osman Zolkifli dari kapal Themis dan seorang peserta di atas kapal Josef, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.
Selain itu, penahanan turut melibatkan pakar maritim Malaysia, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir atau dikenali sebagai CEO Kapal yang menaiki kapal Iridescence, Mohd. Hanafi Mohd. Salim dan Mohd. Redzal Amzah (kapal Bolarize), Norhelmi Ab Ghani dan Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin (kapal Ozgurluk), Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin (kapal Marilyn), Dr. Nor Liyana Farhan Daud (kapal Amazon) dan Razman Mat Ali dari kapal Azur. – UTUSAN










