JOHOR BAHRU: Sistem ‘autogate’ atau pintu pagar automatik di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah berdepan masalah teknikal menyebabkan ribuan pengembara terkandas, hari ini.
Gangguan teknikal itu lebih kritikal di BSI yang menyaksikan pengembara terpaksa menghabiskan masa sehingga dua jam bagi pelepasan pemeriksaan imigresen.
Gangguan itu tidak melibatkan pengembara warga Malaysia sebaliknya pemegang pasport antarabangsa.
Difahamkan, beberapa sistem ‘autogate’ terbabit telah mengalami masalah teknikal sejak beberapa hari lalu, namun keadaan memuncak melibatkan sistem berkenaan pada hari ini susulan jumlah kemasukan pengembara tinggi dari Singapura.
Masalah tersebut melibatkan 39 mesin autogate di laluan masuk serta 29 di laluan keluar BSI manakala 12 lagi mesin autogate di KSAB.
Seorang sumber memaklumkan, gangguan teknikal sama turut dihadapi mesin autogate di laluan Keretapi Tanah Melayu (KTM).-UTUSAN










