TAPAH: Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 314, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, M. L. S. Joginder Singh, 53, yang memandu kereta jenis Toyota Hilux maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara.
Katanya, nahas dipercayai berlaku setelah kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar belakang treler dipandu lelaki berusia 47 tahun.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera dan disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak cedera.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.










