TANJUNG MALIM: Pekebun dan peniaga durian boleh memohon surat kebenaran perjalanan di balai polis berhampiran bagi tujuan memasarkan produk mereka.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya boleh mengeluarkan surat kebenaran perjalanan itu khususnya kepada pekebun dan peniaga yang tidak mempunyai majikan.
Bagaimanapun katanya, kebenaran itu hanya tertakluk kepada aktiviti jualan dan bukannya penganjuran pesta durian.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai majikan, saya sarankan untuk dapatkan kebenaran rentas negeri dan daerah dari polis. Kita akan keluarkan surat kebenaran perjalanan untuk mereka menjalankan aktiviti jualan buah durian.
“Surat kebenaran perjalanan itu dimohon sekali sahaja dan boleh digunakan sepanjang musim buah durian,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Op Patuh: Tim Pemantau Bersepadu Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim di sini hari ini.
Terdahulu pada 27 Jun lalu, Mior Farid mengingatkan mana-mana pihak agar tidak cuba menganjurkan sebarang majlis termasuk pesta durian.
Menurut beliau, tiada aktiviti boleh diadakan sama ada rasmi mahupun tidak dalam tempoh total lockdown di seluruh negara sejak 1 Jun lalu.
“Ikut SOP memang tidak boleh, hendak rentas daerah dan negeri pun tidak dibenarkan apa lagi jika mahu buat pesta termasuk pesta durian,” ujar beliau.
Sementara itu, mengulas mengenai kawalan di sempadan negeri bagi menyekat pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini, beliau berkata, tiada penambahan sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan bagi tujuan itu.
Jelasnya, SJR sedia ada telah memadai bagi memastikan tiada individu ingkar kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Walaupun negeri Perak kini berada ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pergerakan rentas negeri dan daerah masih tidak dibenarkan dan kita juga akan pastikan tiada pergerakan masuk ke negeri ini tanpa kebenaran,” katanya. – UTUSAN










