Pangkor capai imuniti kelompok September ini - Utusan Malaysia

Pangkor capai imuniti kelompok September ini

NANCY Shukri (tengah) pada  program lawatan diKlinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pulau Pangkor, Perak,  hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pulau Pangkor yang dipilih menjadi sebahagian daripada projek rintis bagi Program Destinasi Bebas Covid-19 Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan, disasarkan mampu mencapai tahap imuniti kelompok pada September ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi mencapai hasrat itu, sekurang-kurangnya 8,026 penduduk layak untuk menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 11,500 populasi yang diunjurkan di pulau peranginan itu.

“Setakat 11 Julai lalu, sebanyak 1,002 orang telah menerima suntikan dos pertama manakala seramai 1,056 orang pula telah lengkap dos  pertama dan dos kedua,” katanya dalam satu kenyataan media selepas lawatan kerjanya ke Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Pulau Pangkor hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan pulau itu mencapai sasaran 80 peratus tahap imuniti kelompok menjelang awal bulan September ini,  Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung telah memulakan program ‘outreach’ tiga hari seminggu untuk tempoh lapan minggu berturut-turut mulai 16 Julai lalu dengan sasaran kapasiti pemberian vaksin seramai 540 orang sehari.

“Berdasarkan rekod Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Manjung, pemberian dos pertama dijangka selesai pada 8 Ogos ini dan akan disusuli dengan dos kedua mulai 13 Ogos,” katanya.

Jelasnya lagi, Pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Perak turut menghantar empat kakitangan sebagai sukarelawan bukan kesihatan untuk tempoh dua minggu berturut-turut.

Ujarnya, seramai 25 sukarelawan  pula telah dicadangkan termasuk MOTAC Negeri dan agensi-agensi MOTAC  Negeri, wakil kerajaan negeri serta sukarelawan yang dikenal pasti oleh pihak CITF Daerah Manjung untuk membantu program outreach yang sedang dilaksanakan.

Nancy memberitahu, bagi menjayakan program outreach di Pulau Pangkor, kementeriannya juga bekerjasama dengan Persatuan Pemandu Teksi Malaysia (PERTEKMA) Cawangan Pulau Pangkor bagi memudahkan urusan pergerakan keluar penduduk kampung untuk menerima vaksin.

Ujarnya, program di Pulau Pangkor telah melibatkan kerjasama antara pihak MOTAC bersama Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Manjung serta Pejabat Kesihatan Daerah Manjung. bertujuan untuk membantu melancarkan program imunisasi vaksin yang dijalankan secara outreach.

Sehubungan itu, Nancy menyeru penduduk di pulau itu untuk terus menyokong program vaksinasi yang dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan pulau tersebut selamat dikunjungi oleh pelancong sekali gus dapat menghidupkan kembali sektor pelancongan sebagai salah satu penjanaan aktiviti ekonomi penduduk tempatan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Fasa 2 Pelan Pemulihan Pelancongan, telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan dengan Pejabat Daerah, Jabatan Pelancongan Negeri dan Lembaga Pembangunan berkaitan untuk memperluaskan program itu ke pulau-pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan juga pulau-pulau yang lain.

“Kempen Promosi Rindu Melancong? Jom Vaksin Dulu! turut giat dijalankan oleh Tourism Malaysia bagi menggalakkan lebih banyak pendaftaran dalam kalangan penduduk tempatan untuk divaksin.

“Di bawah tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan, Pulau telah dipilih untuk dijadikan sebagai destinasi rintis dan kemudiannya diperluaskan ke pulau-pulau peranginan tumpuan utama pelancong dalam Fasa  2,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, destinasi pelancongan utama di setiap negeri juga dalam perhatian semua Setiausaha Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan program tersebut berdasarkan kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi mengikut fasa yang terdapat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya