JIKA isu melibatkan pelakon atau penyanyi, mudah sahaja diambil peduli makumlah populariti yang dimiliki membuatkan setiap keluhan mereka mudah didengari, entah siapa yang mahu peduli nasib kru produksi muzik apabila bayaran mereka masih berada di takuk yang lama.
Sedangkan mereka tidak kurang juga lelahnya mengangkut peralatan, memasang set persembahan dan memastikan persembahan artis mereka tampil dengan kualiti terbaik.
Penyanyi dan komposer, Man Bai, mendedahkan masih ada pihak yang membayar upah kru produksi muzik seperti 15 tahun lepas yang tidak sepadan dengan keadaan ekonomi dan harga barang hari ini. Cuma jelas lebih lanjut, Jawablah Man Bai!
Dari dahulu hingga sekarang, apa perkara yang anda lihat dalam industri muzik yang tidak banyak berubah?
Saya fikir kita masih kurang menghargai kerja orang seni sama ada artis, pemuzik mahupun orang produksi. Mungkin klien keluarkan duit, tapi tidak tahu nilai sebenar kerja yang dilakukan itu. Kadang mereka ada bajet sekian, tapi kualiti hendak tinggi membuatkan seorang pekerja terpaksa buat empat hingga lima kerja serentak.
Kalau di luar negara, jurutera bunyi hanya uruskan bunyi sahaja, tapi di Malaysia, kalau mahu sara hidup kena buat banyak benda merangkap pengurus produksi sampailah kerja angkat barang.
Berapa kadar bayaran paling rendah yang anda pernah dengar kawan-kawan atau kru produksi muzik dapat sekarang?
Ada yang dapat RM150 untuk satu persembahan. Bayangkan kru yang angkut barang, pasang barang, buat macam-macam kerja tapi dibayar RM150 ke RM200. Itu kadar bayaran 10 hingga 15 tahun lepas yang masih dipakai sekarang. Sangat tidak adil. Bergantung juga band atau artis itu dapat banyak persembahan atau tidak.
Anda rasa berapa kadar minimum kru produksi dapat?
Saya tidak tahu orang lain, tapi di studio saya, intern pun akan bayar sekurang-kurangnya RM800 ke RM1,000. Saya tidak sampai hati bayar rendah apa lagi kalau kita bawa untuk kerja luar.
Baru-baru ini ramai juga artis bongkar cerita sisi gelap industri, ada sahaja laluan singkat jadi terkenal cuma kena bodek VIP atau keluar minum dengan orang industri, anda pula sangat lantang, ada yang berani tawarkan perkara begitu?
Tiada orang berani tawarkan macam itu pada saya. Dalam industri ini, hendak jadi artis sebenarnya bergantung pada nasib. Kalau niat kita baik, Allah akan bagi. Saya jenis yang bertahan atas kaki sendiri. Saya tidak mudah terpedaya. Saya pernah jadi kru bawah Roslan Aziz Productions tahun 1990, jaga artis-artis besar macam Sheila Majid dan Zainal Abidin. Dari situ saya belajar dari bawah. Jadi bila orang mahu ‘pijak’ kita, kita sudah tahu selok-beloknya.

Pernah anda kena tipu atau tidak dibayar dalam industri ini?
Kena tipu itu biasa, itu lumrah. Tapi saya reda. Perkara paling penting sekarang, kita kena fikir macam mana hendak mati nanti, iman kuat ke tak, ilmu agama cukup ke tak untuk hadap Allah. Saya sudah ada visi, kalau umur sudah 65 tahun nanti, saya hendak duduk lepak di studio sahaja, buat kerja yang saya suka tanpa perlu fikir populariti lagi.
Sekarang ini ramai orang guna istilah ‘artis sendu’. Adakah anda rasa gelaran itu sesuatu yang memalukan?
Tidak. Ia ikut peredaran zaman. Dulu orang pakai kasut Bata, sekarang orang pakai Nike. Kalau orang kata saya sendu pun tidak apa, janji poket saya berisi. Buat apa popular tapi tiada duit? Macam lagu-lagu saya dengan Gersang, Kau Ilhamku, lagu Masih Aku Terasa sudah 40 tahun tapi masih keluar radio. Itu nilai yang sebenar, bukannya sekadar keluar TV sekejap kemudian hilang.
Bagaimana pula dengan artis yang lahir daripada program realiti TV tapi kemudian mengadu ‘sendu’ bila tidak lagi dipanggil membuat persembahan?
Itu salah mereka sendiri sebab rasa diri mereka ‘star’ hanya kerana masuk TV. Macam program Kilauan Emas contohnya, itu semua untuk rating TV dan perniagaan hiburan sahaja. Mereka tunjuk kisah sedih peserta macam penjual goreng pisang, dan lain-lain untuk tarik simpati.
Peserta rasa mereka artis, tapi sebenarnya mereka hanya alat untuk stesen TV buat duit. Bila program habis, mereka kembali ke asal. Jadi, jangan cepat rasa megah. Lebih baik fokus pada perniagaan atau kerja asal yang mendatangkan hasil tetap daripada mengharap populariti kosong.
Bila sebenarnya seseorang itu boleh menggelar diri mereka sebagai seorang artis?
Kau hanya boleh digelar artis bila kau mampu bertahan atas kaki sendiri tanpa perlu buat benda-benda pelik. Buat lagu, buat show, dan terus konsisten. Bukan masuk TV sekali terus panggil diri sendiri artis. Itu silap. Kena ada usaha sendiri untuk kekal relevan dalam industri.










