Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam kembali lagi

Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam kembali lagi

Peserta Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam pada tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebuah tamadun yang gah tidak sekadar berdiri di atas kemegahan monumen, tetapi pada kekuatan pemikiran dan ketinggian ilmu para sarjananya. Hakikat ini menjadi tunjang utama kejayaan Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam pada tahun 2024 dan 2025 lalu.

Kehadiran ramai peserta pada kedua-dua tahun itu, khususnya golongan muda, membuktikan bahawa dahaga terhadap ilmu dan kerinduan pada identiti Islam yang syumul masih menebal dalam sanubari masyarakat di Bumi Serambi Mekah ini.

Kini, selepas kejayaan dua edisi berturut-turut, tumpuan beralih kepada persediaan penganjuran Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 yang dijadualkan berlangsung pada bulan depan. Bukan sekadar sebuah majlis tahunan, program ini adalah gerakan intelektual yang konsisten dalam menterjemah kegemilangan silam kepada solusi masa hadapan.

Penganjuran siri kolokium ini berakar umbi daripada visi dan keprihatinan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Noor. Beliau figura di sebalik cetusan idea ini, yang melihat perlunya ada ‘jambatan ilmu’ bagi menghubungkan generasi muda dengan akar sejarah mereka.

Menurut beliau, di tengah-tengah kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan globalisasi yang mencabar jati diri, generasi pelapis agama tidak seharusnya terasing daripada kehebatan tokoh-tokoh lampau seperti Al-Biruni atau Sheikh Daud Al-Fatoni.

Kamarudin menegaskan, masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang berilmu, berpaksikan prinsip Hablumminallah wa Hablumminannas. Visi ini menjadi pemacu buat Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) untuk terus menggalas amanah ini.

Kejayaan edisi lalu menyerlahkan kualiti wacana yang dibawa. Antara tokoh yang diketengahkan sebelum ini ialah Sheikh Daud Al-Fatani, Al-Ghazali, Prof. Dr. Abdus Salam, Tok Selehor @ Selehong, Al-Biruni, Ibnu Battuta, Ibnu Sina, Hasan Al-Banna, Ali Al-Jundi, Nurrudin Ar-Raniri, Mohamad Natsir dan Sayyid Abu Al-Hasan ‘Ali Al-Hasni An Nadwi.

Semua perkongsian ini dijilidkan dengan rapi dalam Buku Prosiding Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam terbitan GEMA, bagi memastikan mutiara ilmu ini kekal sebagai rujukan akademik yang berwibawa buat generasi mendatang.

Pada tahun ini, Kolokium Tokoh Ketamadunan Islam 3.0 dijanjikan bakal tampil dengan pengisian jauh lebih dinamik dan mencabar arus pemikiran perdana pada 20 Jun kelak di Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan.

Jika edisi-edisi sebelum ini banyak berpaksikan kepada kronologi sejarah dan asas teologi bagi membina kefahaman akar, edisi 3.0 akan melakukan anjakan paradigma dengan meneroka dimensi yang lebih teknikal dan praktikal iaitu Sosiologi Islam, Sains Perubatan, Politik Kepemimpinan, dan Linguistik.

Peralihan ini penting bagi membuktikan kehebatan tamadun Islam tidak sekadar terhenti pada retorika masa lalu, tetapi satu ‘cetusan pemikiran’ yang mampu menawarkan solusi kepada krisis kemanusiaan moden.

Bagi merealisasikan aspirasi ini, kolokium kali ini bakal menghimpunkan barisan sarjana dan pemikir berwibawa yang akan membahaskan tokoh-tokoh gergasi yang sumbangannya telah mengubah landskap dunia antaranya

Prof. Madya Dr. Hamrila Abdul Latip dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang akan membentangkan falsafah Ibnu Khaldun.

 

Dr. Miqdad Aswad Ahmad dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula bakal membawa kita menyelami hikmah murabbi agung tempatan, Tok Kenali. Kupasan ini bertujuan menghargai metodologi pendidikan dan dakwah beliau yang berjaya membentuk masyarakat Kelantan yang beradab dan berilmu.

Sementara itu, Dr. Mohd. Rozi Ismail dari Institut Pendidikan Guru Malaysia  (IPGM) akan membedah kualiti kepimpinan Salahuddin al-Ayubi, seorang panglima yang bukan sahaja hebat di medan perang, malah disanjung kerana nilai kemanusiaan dan keadilan dalam pentadbiran.

Sesi 2026 ini dirancang sebagai sebuah jambatan intelektual yang mampu menghubungkan naratif kitab-kitab klasik dengan realiti cabaran kontemporari. Matlamat kita adalah menjadikan ilmu tersebut bersifat ‘malar hidup’ iaitu ilmu yang segar, praktikal, dan mampu diterjemahkan ke dalam tindakan, bukannya sekadar hiasan di rak perpustakaan.

Program kali ini bakal menjadi saksi bagaimana sejarah tidak hanya dibaca sebagai nostalgia, tetapi dibedah sebagai formula. Kita tidak mahu sekadar berbangga dengan nama-nama besar masa lalu tanpa memahami bagaimana mereka berfikir.

Justeru, kolokium ini akan bertindak sebagai ‘makmal pemikiran’ apabila teori sosiologi Ibn Khaldun, metodologi sains Al-Biruni dan ketajaman spiritual Tok Kenali diadun semula untuk menjawab kemelut kemanusiaan abad ke-21.

Oleh itu, lembaran jemputan ini dibuka seluasnya. Semua pencinta ilmu, barisan ahli akademik yang tekun di menara gading dan khususnya generasi muda yang menjadi pemegang amanah masa hadapan, dipanggil untuk bersama-sama menyahut seruan suci ini. Inilah masanya untuk anak muda Kelantan dan Malaysia amnya, berdiri di barisan hadapan dalam wacana intelektual.

Jangan kita hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi jadilah pencetus gagasan sebagaimana leluhur kita dahulu menjadi pelopor algoritma dan perubatan dunia.

Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik ialah Pensyarah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KIAS), Pengarah Projek dan Ketua Penerangan Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN