ISKANDAR PUTERI: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bakal bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden MIPP, S. P. Punithan berkata, perkara itu telah dipersetujui kesemua kepimpinan tertinggi PN termasuk ketua-ketua parti komponen dari Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN turut memberitahu, keempat-empat kerusi berkenaan telah dikenalpasti sebagai kerusi mampu dimenangi bagi membantu PN menubuhkan kerajaan negeri.
“PN akan bertanding semua 56 kerusi DUN Johor, dan MIPP akan bertanding empat, itu keputusan yang telah dibuat bersama tetapi perbincangan masih lagi berjalan. Ini akan menjadi pilihan raya pertama disertai MIPP.
“Kira-kira 45 hingga 50 peratus masyarakat India di negeri ini menyokong PN dan perkara itu akan diterjemah dalam PRN akan datang. Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) tidak boleh terlalu yakin untuk menang bergaya, sebaliknya PN juga fokus untuk untuk tawan Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Negeri MIPP di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa MIPP Johor, Dr. S. Saswin.
Tambah Punithan, pihaknya juga telah dipersetujui untuk bertanding sebanyak dua kerusi DUN di Melaka manakala tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan dalam pilihan raya negeri-negeri berkenaan.
“Ketika ini usaha mengenal pasti calon sedang giat dibuat. Kita mahu ketengahkan calon generasi muda yang profesional untuk membawa suara rakyat khususnya masyarakat India dalam membantu mentadbir dan membina negeri.
“Beberapa orang calon akan bertanding tetapi ramai lagi dibelakang mereka akan digerakkan untuk menyantuni masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang pengundi,” katanya.
Pada April 2024, MIPP diterima masuk secara rasmi sebagai anggota penuh dalam PN.










