Orang Asli terlantar lumpuh 28 tahun terharu dapat suntikan vaksin di rumah - Utusan Malaysia

Orang Asli terlantar lumpuh 28 tahun terharu dapat suntikan vaksin di rumah

YATIM Deron (dua dari kiri) yang terlantar akibat lumpuh menerima kunjungan Dr. Hazizi Abdul Yadzid dari U.N.I Klinik Bakri (dua dari kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib (kanan) untuk memberi suntikan vaksin di rumahnya di Perkampungan Orang Asli Tanah Abang, Mersing di Johor. - UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang penduduk di Perkampungan Orang Asli Tanah Abang di sini yang terlantar sakit sejak 28 tahun lalu terharu apabila menerima suntikan vaksin Covid-19 di rumahnya hari ini.

Yatim Deron, 49, yang kini tidak boleh berjalan lagi selepas kakinya lumpuh akibat dihempap kayu balak ketika sedang bekerja sebagai penebang pokok ketika usianya 21 tahun.

Katanya, dia amat terharu apabila golongan sepertinya tidak dipinggirkan untuk menerima suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi berdepan pandemik melanda negara.

“Sejak lumpuh, anak-anak dua orang yang menjaga saya dengan hasil menoreh getah, saya lumpuh dari pinggang hingga ke bawah selain tulang belakang perlu disokong dengan besi akibat insiden dihempap pokok itu.

“Meskipun dalam keadaan begini saya memang mahu sangat mendapatkan vaksin. Mahu tidak mahu kena ambil juga dalam keadaan sekarang. Tak dinafikan bila tengok di media sosial macam-macam diperkatakan mengenai vaksin sampai ada perasaan takut tetapi kena beranikan diri juga demi kebaikan,” katanya.

Yatim berkata demikian ketika ditemui sempena lawatan menyantuni penerima vaksin Covid-19 dalam kalangan pemimpin masyarakat Orang Asli yang dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad di perkampungan itu hari ini.

Yatim yang kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal turut melahirkan rasa syukur selepas diberikan dos pertama tersebut.

Bagi seorang lagi penerima vaksin, Inti Angan, 50, pula berkata, pada awalnya dia juga takut untuk mendapatkan vaksin selepas mendengar banyak cerita negatif dari rakan-rakannya.

Bagaimanapun, penoreh getah itu berkata, dia cuba mengatasi perasaan takut dengan hadir untuk menerima vaksin yang dirasakan tidak seteruk seperti diperkatakan.

“Pada awalnya memang ada takut-takut juga tapi bila lihat ramai sahaja yang sudah ambil vaksin jadi saya pun ambil juga dengan cuba atasi perasaan takut itu.

“Apabila kena cucuk tidak rasa sakit pun, malah salah seorang anak saya juga telah mengambil suntikan vaksin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN