KUALA TERENGGANU: Sebanyak tujuh kompaun berjumlah RM27,500 dikeluarkan di seluruh negeri sepanjang pemeriksaan Op Patuh besar-besaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, daripada jumlah itu, tiga kompaun yang masing-masing bernilai RM1,500 dikeluarkan di Besut membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat kerja dan kegagalan pekerja mendaftar MySejahtera di premis kilang keropok.
Katanya, di Marang pula, kompaun bernilai RM10,000 dikeluarkan kepada majikan kerana gagal memastikan pekerja mencatatkan kemasukan dan menulis suhu pada buku pendaftaran.
“Satu lagi kompaun sebanyak RM1,500 dikenakan kepada seorang individu di Marang yang gagal mendaftar kemasukan manakala di Dungun, pekerja dikompaun RM1,500 atas kesalahan sama.
“Di Kemaman pula, sebuah premis kilang dikompaun RM10,000 buat kali kedua kerana masih tidak melaksanakan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.










