NGO Johor nyatakan sokongan kepada PM - Utusan Malaysia

NGO Johor nyatakan sokongan kepada PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Negara, Kota Tinggi, Jawahir Hussein, Perdana Menteri memimpin kerajaan sebaiknya dalam pasca Covid-19 dan memberi tumpuan kepada kebajikan serta kesihatan rakyat. 

“Dalam keadaan pendemik yang semakin mencabar ditambah pula dengan tekanan politik yang cuba mengganggu gugat usaha kerajaan melawan Covid-19, kami menyeru semua rakyat dan kepimpinan parti dari kerajaan mahupun pembangkang supaya memberi tumpuan kepada usaha menangani penularan Covid-19 dan membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menyokong pendapat sama, Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Parit Sulong, Sarmila Amir berkata, pihaknya menyelar cubaan pihak-pihak tertentu yang ingin menggulingkan kerajaan yang diterajui Muhyiddin. 

Justeru, beliau menyeru semua pihak untuk kekal bersatu padu dan mengenepikan hal politik walaupun berlainan pendapat bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara dalam situasi Covid-19 ini.

“Kami berharap agar semua masyarakat setempat dapat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir segera,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Bidadari Prihatin Kluang, Zaiton Md. Akib berkata,  sebagai sebuah pertubuhan yang mementingkan kebajikan rakyat dan kestabilan negara, pihaknya berharap agar tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan memberi ancaman kepada kestabilan politik tanah air.

“Kami mahukan kesejahteraan rakyat dan negara, kami berdiri teguh bersama kepimpinan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi fokus kepada menangani pandemik Covid-19 dan membaik pulih ekonomi negara,” katanya yang turut disokong Persatuan Suri Prihatin Pagoh, Muar.

Pengerusi Pertubuhan Kebajlkan Amal Prihatin, Kota Tinggi, Mazlin Alias turut menyeru agar rakyat sejagat bertenang dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama  berdoa agar kemelut politik berakhir segera. 

Pada masa sama, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Masyarakat Insane Kaseh Negeri Johor (i-Kaseh), Zuraini Tahir berkata, beliau amat kecewa dengan permainan politik yang mementingkan kedudukan daripada menjamin keselamatan dan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik.

“Marilah bersama-sama tanpa mengenal bangsa dan agama bersatu padu berdoa agar kita semua rakyat Malaysia terselamat dan dilindungi daripada Pandemik. Semoga usaha ini dapat membantu kerajaan dan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya