MAINJ kunjungi tujuh sekeluarga tinggal dalam kontena

MAINJ kunjungi tujuh sekeluarga tinggal dalam kontena

JUNAIDAH Abd. Samad bersama anak-anak mengaminkan doa yang dibaca wakil MAINJ ketika melawat keluarga itu di sebuah kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, Johor. - IHSAN MAINJ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keperitan hidup dihadapi keluarga Azrul Maskat, 36, yang tinggal berhimpit di dalam sebuah kontena di Kampung Baru Seri Aman, Jalan Kempas Lama Tebrau, di sini mendapat perhatian Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

MAINJ dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi laman Facebook mereka memaklumkan, pihaknya telah mengunjungi keluarga tersebut untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian.

“Allahuakbar, sayu sangat, rasa hendak mengalir air mata, tular semalam kakak Junaidah (Abd. Samad), bersama lima anak mereka jadikan kontena sebagai tempat berteduh.

“Kakak mempunyai 5 orang anak berusia 5 hingga 13 tahun. Alhamdulillah semua bersekolah, baik-baik semua, khusyuk sangat semua aminkan doa bila kami baca.

“Masa sampai, suami kakak (Azrul) tiada di rumah, bekerja, suami kakak buat kerja-kerja kampung dengan upah harian yang tidak menentu, selain dari itu suami kakak juga baiki motosikal, syukur rajin sangat suami kakak kerja untuk tampung keperluan keluarga,” tulis hantaran itu hari ini.

Semalam, kisah kehidupan tujuh sekeluarga itu tular apabila media melaporkan mereka terpaksa tinggal di dalam kontena tersebut sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu selepas diusir keluar dari rumah sewa yang tertunggak selama tiga bulan.

Tambah kenyataan itu lagi, kontena berkenaan terletak di atas tanah milik persendirian dan pemilik tanah berkenaan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada keluarga terbabit.

“Tanah yang kakak duduk adalah tanah persendirian, tuan tanah tidak minta apa-apa bayaran, cuma kakak dan suami bantu jaga kawasan tersebut, kawasan sekeliling ditutup dengan zink, Alhamdulillah utiliti asas air dan elektrik semua ada.

“Menurut kenyataan akhbar, keluarga kakak akan dibantu untuk mendapatkan kediaman yang lebih sempurna. Sebelum balik kami berdoa, kami beri juga sumbangan duit tunai dan barangan asas pada kakak.

“Terima kasih kepada semua pimpinan setempat, pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, penghulu, ketua kampung, syukur semua prihatin pada kakak dan keluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN