Bursa Malaysia dijangka mampu akhiri 2025 pada 1,700 mata

Bursa Malaysia dijangka mampu akhiri 2025 pada 1,700 mata

BURSA Malaysia dijangka mampu capai 1,800 mata pada suku kedua tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengukuhan Bursa Malaysia dijangka berterusan dengan momentum berpotensi menutup tahun ini antara 1,680 hingga 1,700 mata, kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran saham tempatan berjaya mencapai paras 1,678 mata ketika ditutup sebelum perayaan Krismas. 

“Bagaimanapun, momentum mempunyai risiko iaitu dijejaskan oleh aktiviti pengambilan untung setelah meningkat dalam tempoh beberapa minggu sahaja.

“Tambahan lagi, cuti hujung tahun yang panjang terutama dalam kalangan para pengurus dana diseluruh dunia, jadi secara realistik tiada aktiviti yang banyak di Bursa Malaysia mahupun dipasaran ekuiti dunia yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pasaran ekuiti Malaysia dijangka akan kembali aktif dengan aliran keluar dari pelaburan dari luar negara pada 2026, seiring dengan unjuran ramai penganalisis bahawa akan berlaku sekurang-kurangnya dua pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Katanya, perkembangan ter­se­but akan mempengaruhi pulangan bon terbitan perbendaharaan AS yang lebih rendah, lalu menyebabkan para pelabur memindahkan dana ke pasaran ekuiti untuk keuntungan yang lebih tinggi. 

Tambahnya, Tahun Baru Cina 2026 seawal bulan Januari nanti menjadi permulaan awal untuk pasaran Bursa Malaysia yang lebih menarik.

“Pemotongan  kadar faedah oleh Fed tersebut juga akan merapatkan lagi jurang kadar antara Malaysia dan AS, menambahkan lagi tarikan bon terbitan kerajaan Malaysia yang pastinya mengukuhkan lagi nilai mata wang ringgit dan mengekalkan momentum pengukuhan ringgit menghampiri RM4 kepada 1 dolar AS tahun hadapan.

“Selain dari faktor luar, pengukuhan nilai tinggi dan peningkatan prestasi Bursa Malaysia turut didorong oleh keyakinan kepada asas ekonomi Malaysia yang terus mampan, dengan data makro menunjukkan fiskal kerajaan bertambah baik.

“Ini dapat dilihat dengan pengurangan defisit perbelanjaan, berikutan dasar fiskal kerajaan seperti subsidi bersasar berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Aimi Zulfahmi berkata, perkara ini juga didorong oleh lebihan dagangan yang terus dicatatkan dengan peningkatan ekspot negara yang telah mencapai tahap tertinggi semenjak pasca Covid-19. 

“Peningkatan pelancong asing ke Malaysia tahun ini menjadi pemangkin kepada pelbagai sektor ekonomi dan mengukuhkan nilai ringgit secara langsung, pastinya Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026) dengan sasaran lebih 40 juta pelancong asing akan mengekalkan momentum tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit banyak didorong jangkaan penurunan kadar faedah di AS pada tahun hadapan. 

Katanya, data menunjukkan bahawa sentimen peniaga dan pengguna dilihat semakin lemah berikutan kenaikan kos perniagaan dan kos sara hidup disebabkan oleh faktor kenaikan tarif import. 

“Justeru, penurunan kadar faedah di AS akan merapatkan jurang dengan Kadar Dasar Semalam (OPR) yang akan menjadikan prospek pulangan pelaburan dalam asset berbentuk ringgit dilihat semakin kompetitif. 

“Selain itu, penurunan defisit fiskal menunjukkan pengurusan kewangan kerajaan dilihat semakin mengukuh.

“Perkara ini telah menarik perhatian para pelabur asing untuk membeli bon-bon kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia yang mana belian bersih oleh para pelabur asing yang dicatatkan adalah RM13.8 billion bagi tempoh 11 bulan pertama 2025 berbanding RM1.3 dalam tempoh yang sama tahun lalu,” ujarnya.

Menurutnya, pembelian ini telah mewujudkan permintaan terhadap mata wang ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN