PADA Jun 2021, Kementerian Pendidikan telah mengumumkan pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya.
Selaras pemansuhan UPSR berkenaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dilaksanakan untuk mengukur pencapaian murid-murid yang terlibat.
Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) digunakan untuk murid-murid terlibat untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh untuk tingkatan satu dan empat.
Pada awal bulan Jun 2022 pula, Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah dimansuhkan. Para pelajar akan ditaksir oleh guru pada setiap masa menerusi proses pentaksiran berasaskan sekolah.
Pemansuhan peperiksaan utama dalam sistem pendidikan negara kita ini dilihat dapat membebaskan sistem pendidikan negara kita serta para pelajar kita dari sistem yang berorientasikan atau berasaskan sistem peperiksaan.
Kita tidak boleh lagi melaksanakan proses penilaian yang berorientasikan atau berasaskan sistem peperiksaan semata-mata bagi menilai tahap prestasi pelajar kita.
Kita juga tidak perlu memberi tekanan mental dan emosi kepada para pelajar kita untuk sentiasa siap sedia hadapi proses peperiksaan yang banyak menitikberatkan proses hafalan.
Kita juga tidak boleh memberi tekanan untuk pelajar untuk mendapat markah yang tinggi atau A dalam peperiksaan pada setiap masa.
Dengan pemansuhan sepenuhnya sistem yang berorientasi dan berasaskan sistem peperiksaan ini juga ia dapat mengurangkan tekanan dari kalangan ibu bapa serta penjaga kerana mereka tidak perlu lagi merasa risau dan pening kepala untuk memastikan anak-anak mereka sentiasa mendapat markah yang tinggi atau A dalam peperiksaan. Ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu lagi berasa tertekan dan bersusah payah melakukan proses perbandingan kejayaan anak-anak mereka dengan anak-anak orang lain.
Soalan utama harus dilontarkan, sampai bila kita harus mengekalkan sistem yang berorientasikan atau berasaskan peperiksaan dalam negara kita? Zaman kini sudah pun sudah berubah.
Terdapat banyak aspek kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai oleh para pelajar kita selain daripada aspek teori dan akademik semata-mata seperti kemahiran untuk berfikir aras tinggi, kemahiran untuk berkomunikasi dengan berani dan penuh keyakinan, kemahiran untuk menggunakan pelbagai jenis aplikasi teknologi moden dan lain-lain lagi.
Sesuai dengan perkembangan zaman ini, proses penilaian pelajar juga harus turut berubah supaya kita benar-benar dapat menilai tahap prestasi pelajar kita meliputi segala aspek termasuk aspek kemahiran dalam kehidupan bukan hanya menilai mereka dari aspek teori, akademik dan jumlah A yang berjaya diperoleh semata-mata. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










