SYDNEY: Keluarga mangsa tragedi tembakan di Pantai Bondi mendesak Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja peringkat kebangsaan bagi menyiasat peningkatan mendadak antisemitisme di negara itu.
Desakan itu dibuat susulan serangan pada 14 Disember lalu ketika sambutan Hanukkah di Pantai Bondi yang mengorbankan 15 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Pihak berkuasa Australia mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai serangan pengganas bermotifkan antisemitisme.
Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh 17 keluarga mangsa, mereka menggesa kerajaan persekutuan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja Komanwel bagi menyiasat kegagalan penguatkuasaan undang-undang, perisikan dan dasar awam yang didakwa membawa kepada tragedi berkenaan.
“Kami menuntut jawapan dan penyelesaian. Kami perlu tahu mengapa tanda-tanda awal diabaikan, bagaimana kebencian antisemitisme dan ekstremisme agama dibenarkan berkembang tanpa kawalan, serta perubahan yang perlu dilakukan untuk melindungi semua rakyat Australia,” menurut surat itu.
Bagaimanapun, Albanese setakat ini menolak gesaan siasatan peringkat persekutuan dengan menyatakan keutamaan adalah tindakan segera, bukan perpecahan atau kelewatan. Beliau menegaskan siasatan yang diketuai kerajaan negeri New South Wales memadai dan kerajaan persekutuan akan memberi sokongan penuh.
Kerajaan Australia sebelum ini mengumumkan beberapa cadangan pembaharuan termasuk undang-undang pemilikan senjata api, ucapan kebencian serta semakan terhadap agensi polis dan perisikan. Namun, keluarga mangsa menyifatkan langkah itu sebagai tidak mencukupi.
Suspek utama serangan tersebut, Sajid Akram, 50, ditembak mati oleh polis di lokasi kejadian, manakala anak lelakinya, Naveed Akram, 24, kini ditahan dan berdepan pelbagai pertuduhan termasuk keganasan dan 15 pertuduhan membunuh. Kes berkenaan masih dibicarakan dan tertuduh belum mengemukakan pengakuan.










