fbpx

Mahkamah syariah ketika pandemik

WABAK Covid-19 yang melanda negara lebih setahun lalu menyebabkan banyak urusan harian sama ada rasmi, perniagaan atau persendirian pada masa kini dilakukan secara apa yang disebut sebagai normal baru. Ini melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutama pemakaian pelitup muka, mengambil suhu badan, menggunakan sanitizer dan penjarakan sosial.

Bagi mengelak dari berhubung secara rapat sebagai kaedah untuk memutuskan rantaian jangkitan virus, alat komunikasi moden melalui internet atau dalam talian (online) telah digunakan secara meluas dalam semua kegiatan dan urusan.

Tidak dapat dinafikan pada permulaannya terdapat cabaran tertentu bagi mengendalikan urusan mahkamah syariah secara dalam talian kerana ia perkara baru yang belum pernah dilakukan sebelum ini secara meluas.

Namun begitu, apabila jelas pandemik Covid-19 akan terus berpanjangan, maka pengenalan kaedah baru ini yang pada mulanya dianggap sebagai langkah sementara di bawah prinsip darurat atau kecemasan, nampaknya mula berubah menjadi sesuatu yang kekal pada masa hadapan.

Melihat kepada perkembangan semasa jangkitan wabak ini, tidak ternampak tanda-tanda keadaan akan pulih segera. Oleh itu, mahu tidak mahu kaedah perbicaraan kes secara dalam talian adalah alternatif praktikal untuk menyelesaikan masalah kes-kes segera atau tertangguh di mahkamah syariah.

Sungguhpun terdapat beberapa cabaran tertentu, pihak mahkamah dan peguam syarie nampaknya tidak mempunyai halangan untuk menggunakan kaedah baru ini. Bahkan pengenalan kaedah ini dilihat boleh menjimatkan masa dan kos.

Asas utama bagi meneruskan urusan mahkamah dalam bentuk ini adalah untuk menjamin keadilan kepada pihak-pihak terlibat supaya kehidupan mereka tidak terjejas. Begitu juga penerusan urusan mahkamah bermakna para peguam syarie mempunyai sumber ekonomi bagi meneruskan operasi firma mereka. Penutupan mahkamah syariah telah menjejaskan pendapatan peguam syarie sejak setahun lalu.

Melalui temu bual dengan hakim-hakim dan peguam Syarie seramai 27 orang di sekitar Lembah Klang yang diadakan pada November 2020 (melalui dana projek UMCSRG 2020SS) mendapati cabaran utamanya adalah kurangnya garis panduan tata cara bagaimana mengendalikan dan menguruskan kes perbicaraan dalam talian.

Begitu juga dalam menyediakan kemudahan peralatan dan internet yang stabil serta kesediaan atau persetujuan pihak-pihak untuk menggunakan kaedah baru ini.

Sungguhpun mahkamah syariah menggunakan sistem E-Syariah sejak 2009 lagi, sistem itu agak terhad kepada maklumat digital dan kegunaan dalaman pihak mahkamah manakala dari segi peralatan dan kemudahan internet pelaksanaan pengurusan kes dan perbicaraan dalam talian sekarang dilakukan dengan menggunakan kemudahan sedia ada yang berkemungkinan tidak mencukupi atau memenuhi kehendak teknikal.

Dalam pada itu, kebanyakan urusan dilakukan sama ada melalui e-mel dan sidang video menggunakan perantara media sosial popular dalam kalangan pengguna di Malaysia. Perkara ini juga akan menimbulkan masalah keselamatan siber, sekiranya sesuatu urusan itu perlu dilakukan secara sulit atau tertutup.

Dari temu bual yang dilakukan didapati urusan yang dilakukan secara dalam talian melibatkan perbicaraan dan penghakiman kes terutama kes perceraian di semua peringkat mahkamah manakala dari segi penyerahan atau pemfailan dokumen baik kepada mahkamah atau pihak-pihak terbabit, ia dilakukan secara e-mail ataupun secara fizikal melalui penghantaraan kurier.

Perkembangan di mahkamah sivil pula menunjukkan beberapa tindakan segera telah diambil sebaik sahaja PKP berkuatkuasa dengan memperkenalkan garis panduan urusan mahkamah secara dalam talian.
Bahkan undang-undang berkaitan perkara ini turut dipinda terutama memberi kuasa budi bicara kepada hakim sivil untuk mengendalikan perbicaraan dalam talian.

Pengeluaran garis panduan dan arahan amalan di mahkamah sivil nampaknya dibuat secara perundingan melalui sesi taklimat dengan pelbagai pihak terutama persatuan peguam.

Di mahkamah syariah kebanyakan perbincangan mengenai pengurusan kes dalam talian berlaku secara dalaman dalam kalangan pihak pentadbiran.

Masalah yang mungkin agak mencabar bagi pengendalian kes dalam talian adalah kaedah pembuktian seperti tatacara keterangan saksi terutama dalam kes jenayah Syariah.

Bagi mengatasi masalah atau cabaran ini, hasil temu bual dengan pengamal undang-undang syariah turut mendapati bahawa pindaan undang-undang perlu dilakukan kepada undang-undang tatacara mal, tatacara jenayah syariah serta undang-undang keterangan Islam termasuk juga pengenalan garis panduan khusus melalui Arahan Amalan mengenai pengendalian kes dalam talian.

Penambahbaikan prasarana juga penting seperti melengkapkan dewan-dewan mahkamah sedia ada dengan peralatan tele-sidang atau mewujudkan dewan-dewan mahkamah maya. Ini termasuk menyediakan peranti sidang talian yang selamat dan stabil.

Bagi mempercepatkan lagi proses perbicaraan, perubahan prosedur perlu dibuat terutama kebenaran kepada hakim syarie untuk memutuskan kes hanya berasaskan kepada dokumen yang diserahkan melalui e-mel atau lain-lain alat elektronik terutama bagi kes-kes yang mana semua pihak telah bersetuju. Perkara ini sudah tentu melibatkan persoalan hukum syarak sebagaimana pengendalian kes dalam talian itu sendiri.

Namun hukum Islam itu sentiasa fleksibel dan memberi penekanan kepada maslahat dan faedah umum masyarakat. Dengan perubahan ini mahkamah syariah akan benar-benar menepati motonya iaitu Syariah Asas Keadilan.

Datuk Profesor Dr. Ahmad Hidayat Buang ialah Ketua Projek UMCRGS 2020SS, Jabatan Syariah dan Undang-undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!