‘Saya kurang-kurang jadi Menteri Dalam Negeri’ - Sanusi

‘Saya kurang-kurang jadi Menteri Dalam Negeri’ – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md Nor (tengah) ketika menghadiri majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah yang dirasmikan Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara berseloroh menyatakan beliau akan menjadi Menteri Dalam Negeri jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas itu, PN dilihat berkeupayaan untuk menjadi kerajaan selepas pilihan raya itu apabila kini ditentang secara habis-habisan untuk merosakkan imej gabungan berkenaan.

“PN dihentam macam-macam, direka cerita, seboleh-boleh nak datangkan wajah buruk kepada Pas agar PN runtuh masa Pas jadi pengerusi. Itu yang sedang diusahakan oleh semua orang tapi dengar janji saya Pengerusi PN sekarang akan jadi pemimpin negara.

“Pas akan masuk pilihan raya di Johor, Negeri Sembilan dan PRU16 nanti untuk memimpin PN memerintah Malaysia. Saya kurang-kurang (jadi) Menteri Dalam Negeri,” katanya berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah, malam tadi.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, sebagai ahli Pas mereka tidak pernah diajar untuk meminta sebarang jawatan, sebaliknya akur dengan setiap arahan pimpinan.

“Orang Pas letak di mana pun kita duduk di situ, Ustaz Azizan beritahu saya jadilah al-Murabitun yakni tentera yang diarahkan berada di sempadan dia ada di sempadan, diarahkan berada di medan dia berada di medan, diberi cuti dia berada di rumah, disuruh bekerja dia pergi kerja, disuruh perang dia akan perang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memiliki potensi yang cukup besar untuk memimpin negara selain tidak terpalit dengan apa-apa kontroversi.

“Panggil semua pemimpin-pemimpin lain bariskan depa macam nak buat kawat cam, adalah layak kerana semua telah ada rekod, ada sejarah, ada bukti kegagalan dan pencapaian masing-masing maka ada kudis.

“Pemimpin yang tak ada kudis adalah Pengerusi PN sekarang, maka ada orang yang cemburu, marah, orang susah hati dan mahu tak mahu mereka kena pergi jahanamkan kita,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menjelaskan Pas juga perlu sentiasa ‘bergerak’ menjelang PRU16 bagi memastikan parti berkenaan dapat terus kekal relevan.

“Semua parti perlu bergerak berdasarkan keperluan dan kehendak semasa bagi mengikut pola pemikiran. Jadi parti kena bergerak, tak boleh duduk statik kerana ia akan ditinggalkan, jadi seperti parti zaman batu.

“Pas juga kena bergerak selagi prinsip kita tidak berubah, perjuangan kita kekal. Tetapi strategi kena ada untuk memenangi hati pengundi dapat dibuat dengan semua parti akan mengambil peluang sama,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN