GEORGE TOWN : Siasatan berhubung dakwaan seorang murid perempuan Tahun Enam di sebuah sekolah di Perlis yang dipercayai menjadi mangsa buli sehingga mengalami kecederaan serius masih berjalan ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kes berkenaan telah dirujuk kepada pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan (KPM) juga sedang menjalankan siasatan dalaman bagi memastikan setiap dakwaan diteliti secara telus serta berintegriti.
Menurutnya, KPM tidak akan berkompromi dalam isu buli dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat selepas siasatan selesai.
”Saya ambil kesempatan untuk ingatkan sekali lagi bahawa kita tiada kompromi dalam soal ini dan tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang kita dapati terlibat dalam kes ini,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Heng Ee di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai seorang murid Tahun Enam di sebuah sekolah di Perlis yang didakwa dibuli sehingga mengalami kecederaan serius.
Sebelum ini, pasangan suami isteri dari Chuping, di Perlis, memohon keadilan buat anak sulung mereka berusia 12 tahun yang didakwa menjadi mangsa buli fizikal dan mental di sekolah.
Norasikin Hasin, 32, dan Muhamad Abdul Hadi Mohd Fauzi, 32, mendakwa, anak perempuan mereka yang lebih mesra disapa sebagai ‘kakak’ telah dibuli pada bulan Februari lalu dan turut mengadu sakit belakang selepas pulang dari asrama sebuah sekolah di sini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, siasatan yang sedang dijalankan perlu disokong dengan fakta dan bukti yang lengkap bagi memastikan tindakan yang diambil berasaskan proses yang adil dan berintegriti.
Katanya, siasatan kes itu kini berada di bawah kendalian pihak berkuasa, manakala KPM meneruskan siasatan dalaman bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai kejadian berkenaan.-UTUSAN









