LZS peruntuk RM69.3 juta bantu B40, asnaf terjejas Covid-19 - Utusan Malaysia

LZS peruntuk RM69.3 juta bantu B40, asnaf terjejas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM69.3 juta diperuntukkan menerusi 19 inisiatif bantuan di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) Peduli bagi menyantuni asnaf dan golongan B40 terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Jumlah itu disasar untuk diberikan kepada seramai 59,322 penerima dan 431 institusi berkaitan yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M. Yusop berkata, empat agenda dirangka bagi menyalurkan secara bersasar dengan keutamaan diberikan buat golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

“Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM25.7 juta untuk menyantuni kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf di Selangor.

“Ia meliputi bantuan asasi dan keperluan hidup serta bantuan pendidikan membabitkan seramai 36,622 penerima,” katanya.

Beliau menambah, jumlah penerima itu termasuk 1,000 dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) serta 7,000 pelajar asnaf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal menerima bantuan komputer riba dan tablet berserta data internet bagi memudahkan pelajar mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh PKP.

Kata Saipolyazan, sejumlah RM1.5 juta diberikan kepada 700 penerima bagi golongan peniaga asnaf dan bukan asnaf yang terjejas.

“Sebanyak RM1.0 juta pula akan disalurkan bagi menyokong keperluan asas barisan hadapan melalui sumbangan kepada hospital, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) menggunakan peruntukan asnaf amil,” jelasnya.

Sementara itu, bagi membantu golongan B40 yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan, Saipolyazan memberitahu, LZS memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta agihan zakat khusus membabitkan 15,000 penerima menerusi pemberian RM500 secara one-off.

“Komitmen ini turut diperluaskan kepada golongan lain yang terjejas seperti penjaja atau peniaga kecil, pekerja yang diberhentikan atau diarahkan cuti tanpa gaji serta pekerja yang terlibat dalam pemotongan gaji bulanan,” tambah beliau.

Justeru, beliau menyarankan golongan yang terjejas dan ingin mendapatkan bantuan ini boleh melayari www.zakatselangor.com.my untuk memohon mulai hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN