BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh dan 66 yang lain cedera apabila satu letupan berlaku di pasar yang sesak di timur Baghdad pada hari Isnin, menurut Kementerian Dalam Negeri Iraq.
Letupan besar itu berlaku pasar popular di Sadr City, daerah pinggiran kota Baghdad, memusnahkan beberapa kedai dan gerai berdekatan dan merosakkan bangunan sekitarnya pada malam sambutan Aidiladha, kata sumber itu.
Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengadakan pertemuan tergempar dengan komandan keselamatan dan perisikan untuk membincangkan serangan maut itu, kata pejabat medianya dalam satu kenyataan.
Dalam pertemuan itu, al-Kadhimi berjanji kepada keluarga mangsa serangan untuk memburu pengganas di seluruh negara, menurut kenyataan itu.
Bagi pihaknya, dalam tweet Presiden Iraq, Barham Salih menyifatkan kejadian maut itu sebagai “kejahatan keji dan kekejaman yang tidak dapat ditandingi,” yang terjadi pada malam Aidiladha.
Pihak berkuasa Iraq dalam satu kenyataan ringkas berkata, lebih banyak maklumat akan dikeluarkan setelah siasatan mengenai kejadian itu.
Setakat ini, belum ada tuntutan sahih daripada mana-mana pihak yang bertanggungjawab atas serangan itu.
Kejadian pengeboman maut semakin jarang berlaku di Baghdad ekoran situasi keselamatan bertambah baik di Iraq sejak pasukan keselamatan Iraq mengalahkan militan di seluruh negara pada akhir 2017.
Namun, insiden-insideb terpencil masih berlaku di negara yang dilanda perang itu kerana sisa-sisa militan Daesh. – XINHUA










