Lelaki terjun Sungai Golok tinggalkan 5 kg ganja elok dicekup

Lelaki terjun Sungai Golok tinggalkan lima kilogram ganja

KETULAN ganja mampat yang dirampas PGA di pangkalan haram Pos Men, Rantau Panjang, Kelantan semalam. - IHSAN PGA 7
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang lelaki terjun ke dalam Sungai Golok meninggalkan kotak berisi ketulan ganja mampat seberat lima kilogram bernilai RM12,500 bagi mengelak dicekup pasukan keselamatan di pangkalan haram Pos Man, di sini semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 8 malam, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan sedang melakukan rondaan rutin di sekitar kawasan tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintenden Azhari Nusi berkata, semasa rondaan rutin tersebut, anggota bertugas terserempak dengan lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah pondok sambil memegang sebuah kotak.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA, lelaki tersebut bertindak terjun ke dalam Sungai Golok dan terus berenang ke arah negara jiran untuk menyelamatkan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kotak ditinggalkan suspek itu membawa kepada penemuan peket-peket ganja mampat seberat lima kilogram serta seunit picagari yang dianggarkan bernilai RM12,500.

“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azhari memberitahu, siasatan awal mendapati dadah itu dibawa masuk ke negara ini menggunakan laluan tidak sah berkemungkinan untuk pasaran tempatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya