KPDNHEP arah MyCC kaji perkhidmatan penghantar makanan serta caj-caj berkaitan - Utusan Malaysia

KPDNHEP arah MyCC kaji perkhidmatan penghantar makanan serta caj-caj berkaitan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan kajian terperinci berkenaan perkhidmatan penghantar makanan serta caj-caj berkaitan.

KPDNHEP menerusi kenyataan memaklumkan, MyCC sedang mengawasi dan menilai sama ada isu berkenaan bertentangan atau tidak dengan Akta Persaingan 2010.

Menurutnya, MyCC dan KPDNHEP telah bertemu dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pemain industri makanan dan minuman runcit untuk memahami isu-isu yang dibangkitkan.

“Berdasarkan beberapa siri pertemuan lalu, MyCC mendapati wujud beberapa masalah dalam industri dan ia bukan sahaja terhad kepada persaingan, tetapi juga kepenggunaan.

“Sesi libat urus dengan penyedia platform penghantar makanan juga dan pengusaha restoran akan dilakukan bagi mendapat kos yang terlibat dan bagaimana kos itu dicaj kepada pengguna,” katanya.

Katanya, MyCC juga akan menjalankan kajian terhadap perkhidmatan mereka serta mutunya, pengenaan yuran komisen dan harga makanan dan minuman (F&B) yang terlalu tinggi di platform berkenaan.

Selain itu, MyCC juga akan meninjau setiap sudut dari perspektif Akta Persaingan 2010, terutama perlakuan platform penghantar makanan kepada pengguna, pengendara (riders) dan pemain industri F&B bagi melihat sama ada wujud masalah persaingan atau tidak.

Jelasnya, semua opsyen sedang dipertimbangkan dalam menangani masalah tersebut, termasuk menguatkuasakan undang-undang bagi mencapai penyelesaian komprehensif meliputi semua pemegang taruh.

“Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 melarang perusahaan terlibat dalam perjanjian anti-persaingan dan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran.

“Tindakan boleh diambil jika terbukti salah laku oleh mana-mana pihak yang terlibat.

“Kementerian menasihatkan pihak-pihak berkepentingan agar sentiasa merujuk persoalan terhadap isu-isu semasa kepada Kementerian terlebih dahulu untuk mendapat penjelasan
status tindakan yang sedang diambil,” katanya.

Katanya, KPDNHEP memberi jaminan setiap isu akan diperhalusi dan ini mengambil sedikit masa untuk mendapat penyelesaian terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya