Kedah tidak berhasrat beli vaksin - Muhammad Sanusi

Kedah tidak berhasrat beli vaksin

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah buat masa ini tidak berhasrat untuk membeli vaksin daripada syarikat tertentu kerana merasakan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setakat ini kerajaan negeri telah menerima jaminan akan ketibaan bekalan vaksin tambahan pada minggu depan.

Justeru, katanya, bekalan tambahan yang tidak dinyatakan jumlahnya itu dirasakan sudah memadai dengan keupayaan suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sebagai usaha meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat di negeri ini, kita juga akan membuka PPV Mega di Sungai Petani, Baling dan Padang Serai.

“Selain itu, satu lagi PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) akan dibuka di Sungai Petani mulai 26 Julai depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan kerajaan negeri, pengusaha kilang dan syarikat swasta lain termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berpeluang membeli vaksin secara terus daripada Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) tidak lama lagi.

Menurut Ismail, pembelian itu boleh dibuat apabila kerajaan membenarkan Pharmaniaga mengeluarkan 14 juta vaksin lagi bagi mempercepatkan proses vaksinasi di negara ini, berikutan permintaan daripada negeri tertentu serta beberapa syarikat swasta.

Mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai keadaan wad di Kedah yang dilaporkan penuh berikutan peningkatan kes Covid-19 kebelakangan ini, Muhammad Sanusi berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Wawasan, Jitra dekat Kubang Pasu yang dijangka mampu menempatkan hingga 400 katil seperti diumumkannya sebelum ini akan dibuka pada Ogos.

Selain itu, katanya, pendekatan baharu akan diambil iaitu dengan melakukan penyumber luaran (outsourcing) pesakit lain yang tidak menghidapi Covid-19 ke hospital swasta.

“Langkah ini selari dengan kelulusan yang telah diperoleh Kementerian Kesihatan. Semua hospital swasta boleh dilibatkan dalam hal ini dan anggaran penyumber luaran itu dianggarkan berjumlah RM14 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN