Kebun haram Musang King: Petugas bersemangat kehadiran anggota PGA - Utusan Malaysia

Kebun haram Musang King: Petugas bersemangat kehadiran anggota PGA

AKTIVITI penebangan pokok durian di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menambah 30 lagi kakitangannya bagi menjalankan operasi penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian Musang King dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, dekat sini.

Keseluruhannya ketika ini terdapat 65 kakitangan JPNP yang terlibat dalam operasi berkenaan yang bermula 3 Julai lalu dan dijangka mengambil masa sehingga 2 Ogos ini atau selama kira-kira sebulan.

Kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak semalam jelas memberikan kesan besar apabila operasi berkenaan kini berjalan lancar.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, petugas jabatan itu bersemangat menjalankan operasi penguatkuasaan selepas kehadiran anggota PGA di situ.

“Kita berharap operasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak dan provokasi pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang.

“Hari ini kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP menjadikan keseluruhan kira-kira 65 kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya di sini hari ini.

Gara-gara provokasi melampau pada hari kedua operasi memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram di HSK Batu Talam, polis segera menempatkan PGA di kawasan itu.

Kelmarin, pekebun haram merosakkan lantai simen jambatan di kawasan dusun berkenaan semalam di samping meletakkan kenderaan di tengah jalan.

Nor Azirim berkata, polis dan PGA mengadakan dua Sekatan Jalan Raya (SJR) 24 jam di laluan utama masuk ke kawasan kebun durian itu sejak semalam.

Menurutnya, kawalan juga dilakukan di kawasan jambatan simen yang dirosakkan sebelum ini selain anggota PGA melakukan kawalan di semua kawasan aktiviti penebangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya