KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatics) bangunkan sistem komunikasi Radio Mudah Alih Digital (Digital Mobile Radio -DMR) dikenali sebagai RADKOM (Radio Komunikasi Malaysia) bagi memperkukuh keupayaan komunikasi strategik negara.
Jurucakap Mindmatics berkata, RADKOM dibangunkan sejak setahun lalu selaras dengan usaha memperkasakan teknologi komunikasi digital yang selamat dan efisien.
Katanya, sistem tersebut telah melalui fasa ujian dalaman dan kini bersedia untuk menjalani ujian kesesuaian oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menilai keberkesanan keseluruhan sistem dalam persekitaran operasi sebenar.
“RADKOM menggunakan piawaian DMR yang dibangunkan mengikut standard European Telecommunications Standards Institute (ETSI), yang turut diguna pakai secara meluas di peringkat global.
“Antara kelebihan utama sistem ini adalah penggunaan frekuensi yang lebih efisien dan tersusun, sekali gus meningkatkan kualiti komunikasi serta mengurangkan gangguan isyarat, “katanya pemberita di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, penggunaan sistem trunking membolehkan komunikasi dilakukan dengan lebih selamat, stabil dan tersusun, terutama dalam operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi.
“RADKOM turut menawarkan komunikasi suara digital berkualiti tinggi, di samping keupayaan integrasi dengan aplikasi serta sistem pengurusan operasi moden.
“Sistem ini menyokong komunikasi secara berkumpulan dan individu, menjadikannya sesuai digunakan oleh pelbagai sektor termasuk kerajaan, keselamatan, utiliti dan pengangkutan,” jelasnya.
RADKOM dilengkapi ciri penyulitan data berteknologi tinggi termasuk AES-256 serta dilengkapi dengan teknologi kriptografi pasca-kuantum (PQC), sekali gus meningkatkan tahap perlindungan maklumat.
Peranti ini juga direka dengan prestasi lasak mengikut standard ketenteraan MIL-STD 810G serta perlindungan persekitaran IP68, sesuai digunakan dalam pelbagai keadaan mencabar.
Ia turut menyokong operasi dalam mod digital dan analog, dengan julat frekuensi antara 350 hingga 479 MHz serta kuasa penghantaran 1 W hingga 4 W.
RADKOM dilengkapi sistem GPS, bateri berkapasiti 3000 mAh jenis lithium polymer serta keupayaan operasi dalam suhu antara -20 hingga 60 darjah celsius dengan kelembapan sehingga 95 peratus. – UTUSAN









