KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharifah Haneesya, meluahkan rasa kesal apabila mendakwa seorang individu masih gagal melunaskan hutang berjumlah RM18,000 yang dipinjam daripadanya sehingga kini.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Haneesya mendakwa wang tersebut sepatutnya digunakan untuk menanggung keluarganya, namun dia kesal apabila mendapati individu berkenaan telah menggunakan wang itu untuk tujuan lain termasuk membelanja teman wanita.
Menurut Haneesya, dia terpaksa mendedahkan perkara itu secara terbuka selepas individu terbabit didakwa gagal memberikan kerjasama termasuk tidak membalas mesej daripada peguamnya.
“Saya faham kalau mahu bercinta dengan wanita cantik memang perlukan banyak duit, tetapi janganlah sampai mengambil duit orang lain.
“Kepada gadis ini, saya minta maaf kerana terpaksa memuat naik gambar awak secara terbuka, tetapi boleh tolong minta teman lelaki awak membalas mesej peguam saya dan melunaskan hutang saya sebanyak RM18,000.
“Saya sangat marah kerana duit yang sepatutnya saya gunakan untuk menanggung keluarga akhirnya digunakan untuk berbelanja demi teman wanita. Kalau tidak mampu hidup mewah, hiduplah seperti orang biasa dan jangan makan duit haram,” katanya sinis dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram hari ini.
Dalam masa sama, Sharifah turut mendakwa individu tersebut bukan sahaja berhutang dengannya, malah dipercayai mempunyai masalah sama dengan beberapa individu lain.
Katanya, dia menerima maklumat bahawa ramai yang turut mencarinya kerana sering meminjam wang tetapi gagal membuat bayaran semula.
“Saya juga mendapat maklumat bahawa bukan saya seorang sahaja yang tidak dibayar, malah ramai lagi yang mencarinya kerana dia suka meminjam duit tetapi tidak membayarnya semula.
“Dia juga menipu orang dengan menawarkan kerja kempen, tetapi akhirnya tidak membuat bayaran. Jadi kepada semua wanita, tolong jangan bercinta dengan lelaki ini. Perlu diingat, duit yang dia belanjakan untuk awak itu mungkin duit haram dan entah daripada siapa lagi dia berhutang,” ujarnya.
Sharifah turut menegaskan bahawa hantaran tersebut akan dipadamkan sekiranya individu terbabit tampil menyelesaikan hutangnya.
“Saya akan memadam hantaran ini sebaik sahaja awak menyelesaikan perkara ini. Pada awalnya awak berlagak dengan mengatakan ‘talk to my lawyer’, tetapi saya sudah lama menunggu dan peguam awak masih tidak muncul.
“Pengajaran di sini ialah jangan mudah meminjam atau memberi pinjam duit sesuka hati. Apabila masalah sudah menjadi semakin besar, diri sendiri pun tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikannya,” katanya.









