SYDNEY: Badan pemerhati internet Australia pada Rabu menyuarakan kebimbangan platform permainan dalam talian popular seperti Roblox dan Minecraft kini digunakan oleh golongan dewasa pemangsa untuk menyasarkan kanak-kanak.
Suruhanjaya e-Keselamatan (eSafety) negara itu menghantar notis undang-undang kepada beberapa platform permainan paling popular di dunia bagi menuntut penjelasan mengenai usaha mereka dalam menghapuskan kandungan berbahaya.
Australia kini berada di barisan hadapan dalam usaha global untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya dalam talian selepas menggubal undang-undang tahun lalu yang melarang remaja bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial.
Ketua eSafety, Julie Inman Grant berkata, kajian menunjukkan sebahagian besar kanak-kanak Australia terlibat dalam beberapa jenis permainan dalam talian.
“Golongan dewasa pemangsa menyedari perkara ini dan menyasarkan kanak-kanak melalui aktiviti ‘grooming’ atau menyerapkan naratif pengganas serta keganasan ekstrem dalam corak permainan,” katanya.
Platform permainan popular seperti Roblox, Minecraft, Fortnite dan Steam kini dikehendaki membuktikan bagaimana mereka mengenal pasti dan menghapuskan bahaya dalam talian.
“Kami telah melihat banyak laporan media mengenai aktiviti umpanan yang berlaku di keempat-empat platform ini, selain permainan yang bertemakan pengganas dan keganasan ekstrem,” jelas Inman Grant.
Beliau turut mendedahkan contoh kandungan melampau yang ditemui termasuklah penciptaan semula kejadian tembakan besar-besaran dan kem tahanan Perang Dunia Kedua di dalam platform tersebut. Setakat ini, AFP telah menghubungi platform berkaitan untuk mendapatkan ulasan lanjut.
Australia pada Disember lalu telah melarang individu bawah 16 tahun daripada mengakses pelbagai laman media sosial popular dunia, atas keperluan untuk melindungi minda muda daripada algoritma pemangsa yang dipenuhi kandungan seksual dan keganasan.
Bagaimanapun, selepas tiga bulan undang-undang itu berkuat kuasa, badan pemerhati keselamatan dalam talian Australia mendapati sebilangan besar kanak-kanak Australia masih lagi mengakses platform yang dilarang tersebut.-AFP










