SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Negeri di sini esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, baginda dijadualkan diiringi oleh Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Katanya, istiadat pembukaan itu akan bermula pukul 8 pagi di perkarangan Wisma Negeri dengan perbarisan kawalan kehormat.
“Baginda dijadual menyampaikan titah diraja di Dewan Undangan Negeri selepas pukul 10 pagi.
“Sehingga kini persiapan majlis pembukaan itu giat dilaksanakan termasuk mengadakan raptai di perkarangan Wisma Negeri,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Penyerahan Tajaan Bubbles O2 kepada Negeri Sembilan Football Club di sini hari ini.
Sehingga kini, tidak jelas kehadiran Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin ke istiadat pembukaan itu selepas tercetus krisis dengan Tuanku Muhriz, Ahad lalu.
Undang Yang Empat telah bertindak mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturun takhta sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuatkuasa serta merta.
Lazimnya dalam istiadat pembukaan persidangan DUN, Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin akan mengiringi Yang Dipertuan Besar ke majlis berkenaan.
Namun, Utusan Malaysia diberitahu, Datuk Mubarak Dohak yang didakwa telah dipecat daripada jawatan Undang Luak Sungei Ujong tidak menerima surat jemputan bagi menghadiri istiadat pembukaan berkenaan.
Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan berkata, kebiasaannya surat jemputan rasmi akan diterima seminggu sebelum majlis tetapi kali ini tiada.










