PELABUHAN KLANG : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 10.9 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM8.393 juta termasuk cukai di Pelabuhan Barat, di sini pada 16 Jun lalu.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menyita sebuah kontena di Pelabuhan Barat, pada pukul 6.30 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kontena tersebut bermuatan 10.9 juta batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1.090 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM7.303 juta.
“Modus operandi kes ini ialah membuat pengikraran tidak benar terhadap pengimportan rokok dengan mengikrar dagangan sebagai general cargoes di dalam Daftar Masuk.
“Ia bertujuan mengelakkan daripada Permit Import semasa pengimportan dan bagi mengelakkan dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Zazuli memberitahu, hasil siasatan mendapati, kesemua rokok yang disita adalah diimport dari luar negara tanpa Permit Import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya.
“Perbuatan mengimport rokok tanpa Permit Import merupakan satu kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) PeraturanPeraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019.
“Jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Bagi kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










